KUCHING, 29 Julai — Pemimpin tertinggi parti politik Sarawak perlu berbincang dan membuat keputusan bagi pelaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti di negeri itu.

Timbalan Menteri di Pejabat Premier (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata secara prinsip beliau menyokong larangan melompat parti itu diguna pakai di Sarawak serta Dewan Undangan Negeri itu.

Namun jelasnya satu kajian terperinci perlu dilaksanakan mengenai peruntukan itu supaya bersesuaian dengan undang-undang negeri sedia ada.

“Jika pemimpin kita telah buat keputusan muktamad dalam segala aspek pindaan yang diperlukan kita boleh bawa perkara ini ke DUN.

“Mungkin (boleh dibentangkan) dalam persidangan DUN yang bakal diadakan pada November nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Abdullah berkata walau apapun tindakan susulan yang bakal diambil Sarawak dalam isu lompat parti itu nanti, kerajaan negeri akan memastikan setiap kepentingan dan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilindungi.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan pada persidangan Dewan Rakyat semalam, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat. Sebelas Ahli Parlimen tidak hadir.

Pindaan mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here