KUALA LUMPUR, 29 Julai — Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) melantik Tan Sri Soh Thian Lai sebagai presiden ke-23 untuk tempoh 2022-2024.

Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan NCCIM ke-46 yang diadakan hari ini.

NCCIM dalam kenyataan hari ini berkata Soh akan memperkasakan lagi dewan itu sebagai saluran yang lebih berkesan kepada komuniti perniagaan berikutan ia mendukung nilai berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

“Kami menzahirkan penghargaan serta berterima kasih kepada Tan Sri Low Kian Chuan yang telah menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai presiden dengan menawarkan perkhidmatan dan sumbangan yang berterusan kepada NCCIM,” katanya.

NCCIM ialah persekutuan lima pertubuhan perdagangan nasional yang terdiri daripada Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dewan Perniagaan dan Industri India Bersekutu Malaysia, Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here