ISKANDAR PUTERI, 31 Julai — Ketua Masyarakat Kampung Baru di Johor perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat selain menyalurkan maklumat dasar pentadbiran kepada penduduk.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata golongan berkenaan berperanan sebagai mata dan telinga untuk mendengar suara hati penduduk supaya dapat disampaikan kepada kerajaan negeri.

“Apa jua permasalahan yang dibangkitkan rakyat tidak boleh dipandang ringan. Dekati dan ambil tahu kehendak mereka,” kata Onn Hafiz menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata ini kerana isu seperti infrastruktur yang dapat diselesaikan, bukan sahaja menjamin kesejahteraan rakyat malah menarik keyakinan pelabur untuk ke Johor dalam jangka masa panjang. 

Terdahulu, ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Ikrar Angkat Sumpah Ketua Masyarakat Cina Negeri Johor di sini, Onn Hafiz berkata para pelabur juga melihat kepada kestabilan politik.

Menurutnya antara cara kestabilan politik dapat dicapai adalah apabila ketua masyarakat dan kerajaan negeri bekerjasama sebagai satu pasukan supaya rakyat dapat lebih memahami aspirasi kerajaan negeri.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong merangkap Presiden MCA, seramai 120 ketua masyarakat telah dilantik dengan Johor kini mempunyai 124 Kampung Baru Cina iaitu kedua tertinggi di dalam negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here