KUALA LUMPUR, 31 Julai — Perintah Khidmat Masyarakat, yang bertujuan mencegah pesalah mengulangi kesalahan jenayah pada masa hadapan, diperkasa dengan penerapan nilai-nilai kerohanian dalam pelaksanaannya menerusi pelancaran Program Ilmu dan Bakti.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu dilaksanakan secara kolaborasi antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Perintah Khidmat Masyarakat merupakan program yang dilaksanakan dengan matlamat untuk mencegah pesalah daripada mengulangi kesalahan jenayah pada masa hadapan dengan mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat melalui arahan/perintah melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan tanpa bayaran manakala Program Ilmu dan Bakti merupakan nilai tambah yang diterapkan oleh kementerian melalui penghayatan amalan nilai-nilai kerohanian dalam melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat.

“Kementerian berharap pendekatan ini dapat menyuntik kesedaran dan menimbulkan keinsafan buat mereka seterusnya membentuk keperibadian pelatih yang beristiqamah dan kental dalam menangkis sebarang pengaruh negatif yang boleh memudaratkan diri serta berupaya mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang masalah dengan undang-undang,” katanya.

Menurut JKM, ini merupakan antara usaha dalam mensejahterakan masyarakat melalui tarbiah dan pendekatan kolaboratif institusi masjid dengan komuniti setempat.

Kenyataan itu menyebut sehingga Mei 2022, seramai 482 pelatih sedang menjalani Perintah Khidmat Masyarakat terdiri daripada 336 pesalah muda yang meliputi 19 pesalah dewasa dan 127 kanak-kanak.

Menurut statistik JKM dari 2019 hingga 2021, bilangan kes yang telah dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat ialah 2,267 iaitu 780 kes pada 2019; 827 kes pada 2020 serta 660 kes pada 2021 dan daripada jumlah itu, sebanyak 62 peratus adalah pesalah muda, 35 peratus kanak-kanak dan hanya tiga peratus terdiri daripada pesalah dewasa.

Majlis pelancaran Program Ilmu dan Bakti Perintah Khidmat Masyarakat dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusof di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai dekat sini.

Menerusi kenyataan sama, Siti Zailah berharap program itu dapat diperluas ke seluruh negara dengan mempertingkat pelbagai variasi aktiviti dan penglibatan institusi masjid bermula tahun ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa Program Ilmu dan Bakti ini dapat menggalakkan komuniti terutama institusi masjid dan ahli kariah masjid untuk sama-sama merasai kebertanggungjawaban bersama dalam mendukung aspirasi Kerajaan sebagai sebuah keluarga membawa anak-anak pelatih ini ke arah kehidupan yang lebih baik dalam persekitaran yang baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here