KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menzahirkan rasa terkejut atas kehilangan nyawa seorang juruterbang selepas pesawat ringan Piper 28 terhempas semasa latihan penerbangan di Sungai Pinji berhampiran Medan Gopeng, Ipoh malam ini.

Wee berkata beliau amat sedih menerima berita mengenai insiden itu dan berharap seorang lagi juruterbang yang dikeluarkan dari lokasi nahas serta kini menerima rawatan bagi kecederaan di bahagian kepala akan segera sembuh.

“Kami berharap dan mendoakan agar keluarga mereka tabah. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat insiden ini secara terperinci mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

“Adalah amat tragis insiden seperti ini berlaku dan kita mesti melakukan segala yang termampu bagi mengenal pasti puncanya dan memastikan keadaan lebih selamat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chester Voo senada dengan Wee iaitu siasatan akan dijalankan. 

CAAM turut mengesahkan bahawa nahas itu berlaku selepas pesawat malang tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada Isnin, 1 Ogos 2022.

“Menara Kawalan Trafik Udara Ipoh CAAM telah menerima panggilan kecemasan pada 8.07 malam. Pesawat terbabit ialah Piper 28-161, bernombor pendaftaran 9M-BAA dan dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd,” kata Voo.

Beliau juga mengesahkan bahawa seorang juruterbang maut manakala seorang lagi cedera parah dan sedang dirawat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here