JOHOR BAHRU, 4 Ogos — Hasil dapatan dan perbincangan mesyuarat mengenai penyelarasan semula cuti hujung minggu negeri Johor akan dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk mendapat pandangan dan perkenan baginda.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau telah mempengerusikan mesyuarat ketiga kerajaan negeri yang membincangkan mengenai penyelarasan semula cuti hujung minggu bagi negeri Johor. 

“Antara yang menjadi perhatian utama adalah perbezaan cuti antara ibu bapa dan anak-anak yang menyebabkan mereka sukar meluangkan masa bersama. 

“Keputusan yang bakal dibuat akan membabitkan 576,691 pelajar dan 1.764 juta tenaga kerja di Johor yang majoritinya (93 peratus) adalah daripada sektor swasta,” kata beliau dalam hantaran tersebut. 

Namun begitu, beliau memberi jaminan bahawa apa juga yang diputuskan tahap pendigitalan di negeri Johor akan terus diperhebatkan. 

“Negeri yang boleh beroperasi secara digital akan lebih memudahkan urusan rakyat dan ekonomi, tanpa mengira hari cuti minggunya. Peningkatan digital ini sahaja sudah boleh menyumbang kepada kesejahteraan Bangsa Johor tanpa perlu ke kaunter fizikal,” kata beliau.

Dalam mesyuarat tersebut, turut hadir wakil sektor kerajaan, swasta, pendidikan, pemain industri termasuk perbankan dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF). 

Pada 14 Jun lepas, Onn Hafiz dilapor berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti minggu yang dilaksanakan pada setiap Jumaat dan Sabtu sejak 2014. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here