BANGKOK, 5 Ogos — Sekurang-kurangnya 14 orang maut dan 40 cedera apabila sebuah kelab malam terbakar pada awal pagi semalam.

Menurut pihak berkuasa, kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan di Kelab Mountain B di daerah Sattahip di wilayah Chonburi, 150 kilometer ke selatan Bangkok.

Rakaman video menunjukkan pengunjung lari bertempiaran bagi menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.

Antara mangsa yang terkorkan termasuk empat wanita dan sembilan lelaki.

Kebanyakan mayat ditemukan berhimpit-himpit di pintu masuk dan di dalam tandas, dengan badan mereka melecur teruk.

Kesemua mangsa merupakan rakyat Thailand.

Jurucakap polis, Boonsong Yingyong berkata, siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Insiden itu menyebabkan pelbagai pihak menzahirkan kebimbangan mengenai pendekatan kesihatan dan keselamatan di bar dan kelab malam di negara ini.

Pada 2009, seramai 67 orang terbunuh dan lebih 200 cedera apabila kelab malam di Bangkok terbakar ketika sambutan malam Tahun Baharu.

Pemilik kelab malam tersebut dipenjara selama tiga tahun berikutan kebakaran itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here