MELAKA, 6 Ogos — Kembara RIUH Keluarga Malaysia akan dijadualkan secara tetap bagi memudahkan sebahagian pempamer dapat mengikutinya sebagai sebahagian daripada pasukan jelajah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata ia merupakan antara penambahbaikan yang difikirkannya sesuai bagi menambah momentum karnival berkenaan daripada satu siri ke siri yang lain.

“Jadi mungkin dalam RIUH yang akan datang juga kita kekalkan konsep 50 peratus (pempamer) tempatan dan 50 peratus dari negeri-negeri yang lain dan ada content yang boleh ikuti siri RIUH secara berterusan.

Saya rasa elok kita jadualkan supaya mereka boleh merancang penyertaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kembara RIUH Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: RIUH NAU! di Dataran Pahlawan di sini hari ini.

Beliau meluangkan lebih satu jam untuk meninjau pempamer yang mengambil bahagian serta beramah-mesra dengan pengunjung pada karnival yang kini memasuki hari kedua itu dan akan berakhir esok.

Mengulas lanjut, Annuar berkata kementeriannya akan cuba menonjolkan keunikan setiap negeri dalam setiap siri jelajah RIUH agar ia dapat menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.

“Saya juga suka nak tengok kalau ada promosi produk-produk yang baharu, sama ada produk kreatif termasuk jugalah minuman dan juga kulinari dan juga lain-lain produk.

Jadi saya tengok di sini boleh jadi satu contoh yang saya harap dapat diulangi di tempat-tempat lain,” katanya sambil menambah penganjuran RIUH NAU! di Dataran Pahlawan ini telah melepasi sasaran 20,000 pengunjung.

Kembara RIUH Keluarga Malaysia itu, yang menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan, dijangka mampu mewujudkan sekurang-kurangnya 7,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi di seluruh negara selain menyokong lebih 5,000 perniagaan tempatan.

Ia juga selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  iaitu sebanyak 20 peratus dengan anggaran RM31.9 bilion menjelang 2025.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here