GEORGE TOWN, 6 Ogos — Sektor pelancongan Malaysia, terutamanya Pulau Pinang, berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan prospek pasaran pelayaran yang cerah di Asia.

Angie Stephen, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Asia Pasifik Royal Caribbean International berkata pasaran Asia, secara amnya, amat baharu dalam pasaran pelayaran dan tidak banyak kapal persiaran melawat rantau ini berbanding Alaska, Eropah dan Caribbean, yang menjadi destinasi tumpuan kapal persiaran.

“Asia adalah rantau terakhir yang belum diterokai dan ia mempunyai kelas pertengahan yang paling pesat berkembang.

“Kita semua mempunyai peluang untuk menerajui dan memacu pembangunan infrastruktur dan dasar di sini supaya lebih banyak kapal ke rantau ini, seterusnya ke Pulau Pinang dan Malaysia.

“Pulau Pinang berada pada kedudukan yang baik berikutan tetamu boleh berjalan terus dari kapal ke pusat bandar. Ia adalah perhentian kegemaran pelanggan kami dalam pelayaran Asia Tenggara,” katanya pada taklimat media sempena pameran satu hari Spectrum of the Seas Royal Caribbean di sini hari ini.

Selepas terjejas oleh pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas, sama seperti industri pelancongan yang lain, Stephen berkata Royal Caribbean akhirnya mencatatkan aliran tunai yang positif baru-baru ini dan angka yang menggalakkan untuk faktor muatannya.

Beliau berkata Royal Caribbean berusaha ke arah 100 peratus faktor muatan berikutan ia terus menyaksikan permintaan antarabangsa yang tinggi disebabkan sekatan perjalanan yang dilonggarkan dan lebih banyak penerbangan yang boleh didapati ke rantau ini.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng berkata Pulau Pinang bersedia untuk pemulihan pelancongan dengan ketibaan Spectrum of the Seas. 

“Pelabuhan Pulau Pinang telah menerima 13 persinggahan antarabangsa berjumlah hampir 35,000 penumpang hanya pada Julai lepas, 27,000 daripadanya adalah tetamu dari Spectrum of the Seas. 

“Sebagai antara pelabuhan persinggahan pilihan di Malaysia untuk pelayaran Spectrum of the Seas sebanyak dua kali seminggu, Pelabuhan Pulau Pinang berbesar hati untuk mengalu-alukan dan menjadi tuan rumah kepada Spectrum of the Seas, serta menghargai pertumbuhan ekonomi, kegembiraan dan manfaat yang akan dibawa ke Pulau Pinang,” katanya.

Spectrum of the Seas akan membuat 50 lawatan ke Malaysia sepanjang tahun ini, bermakna lebih 200,000 tetamu akan menikmati apa yang ditawarkan oleh negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here