KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Industri semikonduktor Malaysia yang meliputi 13 peratus daripada pemasangan cip global dan bahagian pasaran ujian, bakal meraih manfaat daripada Akta CHIPS (cip) dan Sains Amerika Syarikat.

CHIPS adalah akronim kepada Creating Helpful Incentives to Produce Semiconductors and Science Act (Mencipta Insentif Bermanfaat untuk Menghasilkan Semikonduktor dan Akta Sains), akta tersebut menyumbang lebih AS$280 bilion (AS$1=RM4.44) dalam pembiayaan persekutuan yang termasuk AS$52.7 bilion dalam subsidi untuk menyokong pengeluaran dan penyelidikan semikonduktor di Amerika Syarikat (AS).

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai berkata di bawah akta itu yang ditandatangani Presiden AS Joe Biden pada 9 Ogos 2022, ekonomi terbesar dunia itu dijangka membina kilang fabrikasi cip (fab) paling canggih dengan teknologi proses tujuh nanometer ke bawah.

“Jika mereka membina lebih banyak fab termaju seperti ini di AS, mereka memerlukan lebih banyak perkhidmatan pemasangan dan ujian kerana kapasiti semasa tidak mencukupi untuk menampung kapasiti fab baharu.

“Daripada perspektif itu, Malaysia akan mendapat manfaat kerana Malaysia masih antara tempat pelaburan paling menarik dan kompetitif berbanding negara Asia Tenggara yang lain.

“Ini disebabkan oleh pengalaman Malaysia dalam industri selama 50 tahun, kerajaan yang mesra perniagaan, infrastruktur dan bakat (pekerja berkemahiran) yang baik serta tenaga kerja yang boleh berbahasa Inggeris,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ditanya sama ada akta itu akan menjejaskan daya saing fab di Malaysia, Wong mengetepikannya kerana beliau berkata pada masa ini hanya terdapat dua fab yang mempunyai teknologi kurang canggih di negara ini.

“Pada asasnya, Malaysia tidak akan terjejas sama sekali kerana negara tidak mempunyai fab yang canggih, justeru negara tidak bersaing dalam bidang ini,” katanya.

Walaupun teknologi baharu dijangka dipindahkan ke segmen pemasangan dan ujian berikutan penubuhan fab baharu di AS, Wong berharap kerajaan dapat memberi insentif kepada syarikat di Malaysia untuk membantu mereka berkembang supaya dapat bersaing dengan syarikat setara Asia Tenggara yang lain.

Sementara itu, Wong berkata daripada terus fokus kepada perkara seperti pemasangan dan ujian serta penyelesaian automasi dan kawasan peralatan, kerajaan harus berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan fabrikasi cip ke Malaysia kerana banyak firma telah mula mereka bentuk litar bersepadu.

Menyentuh mengenai daya saing, beliau meluahkan kebimbangan terhadap 15 peratus pembaharuan dalam cukai minimum global (GMT) yang dijangka dilaksanakan secara global tahun depan.

GMT bertujuan untuk memastikan syarikat multinasional (MNC) membayar jumlah cukai yang betul, tanpa kira di mana mereka beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Mohd Nizom Sairi baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa Malaysia pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan rejim cukai itu ke atas MNC tertentu.

“Bagaimanakah Malaysia mahu menarik lebih banyak pelaburan apabila setiap negara menawarkan 15 peratus cukai korporat,” kata Wong.

Melangkah ke hadapan, beliau memetik unjuran pasaran perindustrian sebagai berkata bahawa jumlah jualan semikonduktor global dijangka meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7.1 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ia boleh didorong oleh permintaan yang lebih tinggi daripada industri seperti automotif, pengkomputeran awan, 5G, aeroangkasa, peranti perubatan dan kecerdasan buatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here