SINGAPURA, 16 Ogos — Kira-kira 94 peratus pekerja di Singapura berpendapat bahawa keseimbangan pekerjaan dan kehidupan pasca pandemik COVID-19 adalah penting, menurut dapatan kajian oleh Randstad, sebuah agensi penyelesaian sumber manusia.

Kajian terbaharu oleh Randstad Workmonitor 2022 itu dijalankan antara 21 Feb dan 13 Mac tahun ini ke atas 1,000 responden tempatan yang bekerja dan berumur antara 18 dan 67 tahun di republik itu.

Kaji selidik yang disiarkan di laman sesawang Randstad mendapati bahawa 77 peratus responden dalam kajian itu mengatakan bahawa fleksibiliti dalam lokasi bekerja adalah penting, tetapi hanya 52 peratus melaporkan bahawa majikan memberikan mereka pilihan untuk bekerja jarak jauh.

Begitu juga, empat daripada lima responden kaji selidik itu menghargai waktu kerja yang fleksibel, tetapi hanya 60 peratus daripada mereka melaporkan diberi pilihan itu oleh majikan mereka.

Namun begitu, memandangkan majikan menjangkakan pekerja akan kembali ke pejabat sepanjang minggu, fleksibiliti kerja ini perlahan-lahan akan hilang, kata Randstad.

“Ini bermakna masa bersama keluarga dan rakan-rakan mereka pada hujung minggu kembali terhad kerana mereka perlu menghabiskannya untuk melakukan kerja rumah dan menyelesaikan tugas-tugas lain,” kata agensi itu.

Randstad menyatakan bahawa perubahan itu boleh mengganggu tenaga kerja kerana mereka sudah biasa bekerja dari rumah sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, kajian itu juga mendapati bahawa 41 peratus pekerja lebih rela menganggur daripada kecewa dengan pekerjaan mereka, dengan 52 peratus bersedia untuk berhenti jika pekerjaan menghalang mereka daripada menikmati kehidupan, yang menunjukkan bahawa pekerja lebih mengutamakan hak untuk menikmati kehidupan mereka daripada bekerja.

Kajian itu juga mendapati 46 peratus responden berumur antara 45 dan 54 tahun mengatakan sanggup berhenti kerja jika ia menghalang mereka daripada menikmati kehidupan.

Menurut Randstad,  sebahagian besar tenaga kerja mempunyai peluang untuk menilai semula kerjaya dan keutamaan kehidupan mereka untuk masa depan pasca pandemik kerana bekerja secara hibrid sudah menjadi kebiasaan.

“Ramai pekerja kini mencari majikan yang menyediakan budaya tempat kerja yang positif dan boleh memberikan sokongan kesejahteraan yang lebih baik serta komunikasi yang jelas, program latihan yang berkaitan dan pasukan pengurusan yang kukuh,” kata agensi itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here