BEIJING, 18 Ogos — Presiden China, Xi Jinping pada Selasa mengadakan lawatan ke bandar Jinzhou, provinsi Liaoning yang terletak di timur laut China.

Beliau turut meluangkan masa melawat Taman Hutan Tasik Timur, taman hutan seluas 117.5 hektar di tebing Sungai Xiaoling.

Dikenali sungai ibunda bandar Jinzhou, paras Sungai Xiaoling pada suatu ketika dahulu pernah surut dan berlaku pencemaran di kawasan tebingnya.

Berikutan itu bermula 2014 kerajaan Jinzhou melaksanakan pendekatan komprehensif bagi menambah baik persekitaran sungai Xiaoling dan membina jalur penghijauan di tebing sungai berkenaan.

Kini, sungai itu bukan sahaja mempunyai landskap yang sangat indah, malah turut menjadi lokasi popular untuk penggemar aktiviti sukan papan luncur angin dan kayak.

Untuk rekod, kawasan timur laut China dahulunya menjadi pusat perindustrian yang penting.

Namun, perkembangan ekonomi di kawasan itu kemudian dilihat agak perlahan berbanding kawasan timur seiring pelaksanaan berterusan dasar pembaharuan dan pintu terbuka.

Justeru, kerajaan China memperkenalkan beberapa strategi untuk membangunkan semula kawasan timur laut.

Xi ketika bertemu penduduk bandar Jinzhou berkata modenisasi ala China menyasarkan kemakmuran bersama seluruh masyarakat, dan tidak hanya tertumpu kepada golongan minoriti.

Beliau turut menzahirkan keyakinan kawasan timur laut itu mampu bangkit semula dan lebih membangun.

Justeru usaha mempercepat pengubahsuaian struktur industri perlu diperkasakan lagi selaras dengan keperluan pembangunan era baharu.

Pada Rabu, Xi turut melawat Shenyang, ibu kota provinsi Liaoning, dan kunjungan itu antara lain untuk menyaksikan sendiri usaha inovasi sains dan teknologi serta perkhidmatan komuniti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here