MELAKA, 19 Ogos — Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu lebih ramai ketua kampung berdaya kreatif, inovatif, dinamik dan berkarisma dalam menguruskan kampung masing-masing.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia sebagai usaha merealisasikan sasaran kementerian itu untuk mewujudkan lebih banyak kampung yang memenuhi kriteria Kampung Sejahtera KPLB.

“Inisiatif pelaksanaan Kampung Sejahtera KPLB ini ada dua elemen iaitu prasarana dan kepimpinan. Elemen kedua inilah yang hendak kita tingkatkan memandangkan ia menjadi antara faktor kampung yang layak untuk dijadikan Kampung Sejahtera KPLB masih rendah iaitu hanya 127 daripada 28,000 kampung yang ada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka di sini hari ini.

Mahdzir berkata pelbagai latihan dan kursus pengurusan telah disediakan kementeriannya dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi bagi memastikan pemimpin masyarakat itu memenuhi elemen tersebut.

Beliau berkata kementeriannya menerima banyak permohonan untuk melayakkan sesebuah kampung digelar Kampung Sejahtera KPLB namun kebanyakan kampung itu belum mencapai kriteria ditetapkan.

Menurut Mahdzir, banyak kampung sudah menepati elemen pertama iaitu kemudahan prasarana namun masih belum melayakkan digelar Kampung Sejahtera KPLB.

“Ada kampung yang lengkap data ditetapkan seperti tahu berapa ramai penduduk yang melanjutkan pengajian tinggi tetapi apabila ditanya apa tindakan selanjutnya seperti mengadakan majlis meraikan pelajar tersebut, rata-rata ketua kampung tidak melakukannya.

“Jadi, di sinilah kita nak tengok apa inisiatif ketua kampung ini. Kita nak tengok berapa ramai ketua kampung sebegini… mahu lebih ramai yang dinamik,” katanya. 

Beliau berkata sehubungan itu, ketua kampung perlu lebih kreatif, dinamik, berkarisma dan inovatif bagi menggerakkan komuniti kampung untuk memenuhi kriteria Kampung Sejahtera KPLB sekali gus memudahkan penyaluran peruntukan pembangunan kepada kampung tersebut.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka sedang melengkapkan dokumentasi bagi bayaran elaun kepada JPKK fasa dua di negeri ini.

“Insya-Allah, proses sedang berjalan dan kita akan pastikan pembayaran elaun ini dapat disegerakan sebelum akhir tahun ini,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here