SIBU, 19 Ogos — Seorang lelaki warga emas serta rakannya maut terkena renjatan elektrik apabila jengkaut yang dibawa di atas treler yang dinaiki mereka tersangkut pada kabel elektrik di Jalan Semalau, Tanjung Manis, kira-kira 100 kilometer dari sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis Wan Umar Wan Alek berkata mangsa, Hii Sieh King, 61, merupakan pemandu treler berasal dari Sungai Merudu, Sarikei dan lelaki warga Indonesia, Al Bari Mahmud, 34, bekerja sebagai pemandu jengkaut.

Beliau berkata kedua-dua mangsa merupakan pekerja kontrak pembersihan parit di kawasan berkenaan.

Katanya pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah lori di Jalan Semalau menghala ke Kampung Jerijih pada  9.15 pagi dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian yang jaraknya 18 kilometer.

“Setibanya di lokasi kejadian terdapat jengkaut yang dibawa di atas sebuah lori tersangkut pada kabel aliran elektrik dan tayar depan sebelah pemandu lori berkenaan terbakar. Didapati dua mangsa terbaring di bawah tepi lori sebelah pemandu dipercayai terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Umar operasi pemadaman bagimanapun tidak dapat dilakukan serta-merta kerana masih ada aliran elektrik pada kedua-dua kenderaan tersebut sehingga mendapat makluman daripada syarikat pembekal elektrik Sarawak bahawa bekalan elektrik telah diputuskan.

Katanya pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang membuat pemeriksaan mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia dan mayat mereka telah dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here