KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Kerajaan memandang serius isu gaji permulaan jurutera yang rendah kerana ia mampu menjejaskan minat golongan muda menceburi profesion itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu boleh menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara memandangkan nisbah seorang jurutera berbanding penduduk Malaysia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Jepun dan Jerman.

“Gaji dan imbuhan dalam skim Kejuruteraan Perkhidmatan Awam perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kepakaran kejuruteraan, kos sara hidup dan sebagainya,” kata beliau pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) malam ini.

Turut hadir Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan timbalannya Datuk Arthur Kurup serta Yang Dipertua LJM Datuk Seri Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman. 

Ismail Sabri turut menyarankan agar usaha lebih agresif serta serius dilakukan bagi melantik lebih ramai jurutera mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar dalam perkhidmatan awam.

Beliau juga berkata bidang itu menuntut prinsip kecekapan, penelitian dan kebolehan menyelesaikan masalah yang kompleks sekali gus menjadi asas utama kepada kejayaan pemimpinnya. 

Selain itu, profesion jurutera memberikan sumbangan signifikan kepada negara yang kini menikmati kemajuan besar dalam bidang ekonomi dan teknologi kejuruteraan. 

“Kepakaran jurutera-jurutera tempatan membolehkan sektor infrastruktur, pembuatan, telekomunikasi, petroleum dan jana kuasa dapat dibangunkan sehingga mampu menarik pelaburan langsung asing ke negara ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata peranan yang dimainkan LJM sebagai pengawal selia profesion itu telah membantu memacu ekonomi negara dan meningkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia sehingga setanding dengan negara lain.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut melancarkan Buku Peringatan Ulang Tahun ke-50 LJM bertajuk ‘Crossing the Half Century Line’ yang berkaitan dengan sejarah LJM dan pencapaian sektor kejuruteraan negara. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here