PUTRAJAYA, 22 Ogos — Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyelesaikan baki 4,833 kes rawatan tertunggak bukan COVID-19 di hospital kerajaan dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata jumlah kes yang masih tertunggak sehingga 31 Julai lepas itu hanya melibatkan prosedur pembedahan daripada disiplin pembedahan paediatrik dan pembedahan kardiotorasik.

“KKM akan terus berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Menteri Kesihatan itu berkata, KKM berjaya menyelesaikan kes rawatan tertunggak bukan COVID-19 di hospital kerajaan di seluruh negara sebanyak 92 peratus setakat ini daripada jumlah 57,355 kes dilaporkan pada September lepas.

Mengulas lanjut kes tertunggak direkodkan pada 30 Sept lepas, Khairy dalam kenyataan hari ini berkata 53,785 kes adalah berkaitan prosedur pembedahan dan 3,570 kes berkaitan prosedur bukan pembedahan (medical-based).

‘Kes surgical-based meliputi pembedahan am, pembedahan neuro, pembedahan paediatrik, pembedahan plastik dan rekonstruktif, pembedahan kardiotorasik, pembedahan vaskular, urologi, ginekologi, ortopedik, oftalmologi dan otorinolaringologi, manakala kes medical-based termasuklah sleep study, lung function test, stem cell procedure, radiotherapy and CT simulation dan coronary angiography,” katanya.

Khairy berkata antara inisiatif yang telah dilaksanakan KKM bagi menangani kes-kes tertunggak adalah melalui penyumberluaran pesakit KKM ke hospital swasta.

Turut dilakukan adalah pembukaan semula dewan-dewan bedah elektif di hospital KKM secara berperingkat bermula pada Okt tahun lepas dan pembedahan elektif hari Sabtu dari 8 pagi hingga 5 petang di hospital-hospital berpakar di seluruh negara bermula pada Dis tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here