KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Wanita memainkan peranan penting bukan sahaja dalam hal ehwal sosioekonomi keluarga tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Justeru, beliau berkata peningkatan tahap pendidikan dalam kalangan wanita di negara ini telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Menurutnya sebanyak 20.6 peratus atau lebih 180,000 perusahaan kecil dan sederhana dimiliki wanita pada tahun lepas dan sektor itu menyumbang hampir RM70 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar serta menawarkan hampir 800,000 peluang pekerjaan yang bernilai lebih RM11.1 bilion.

“Kajian oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pula mendedahkan bahawa peningkatan pendidikan wanita menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi kepada kira-kira 50 peratus di negara-negara OECD sejak 50 tahun lepas,” katanya.

Noraini kini berada di Halifax, Nova Scotia, Kanada bagi menghadiri Persidangan Parlimen Negara-Negara Komanwel ke-65 mulai 20 Ogos hingga hari ini anjuran Persatuan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPA) yang menghimpunkan lebih 600 Ahli Parlimen, kakitangan Parlimen serta pembuat keputusan lebih 40 negara.

Beliau berkata matlamat utama persidangan itu ialah mengadakan perbincangan dan meluaskan rangkaian serta berkongsi pengalaman dengan peserta lain mengenai isu global ketika ini. 

Noraini berkata pada persidangan kali ini, terdapat juga mesyuarat sampingan seperti Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif CPA dan Persidangan Cawangan Kecil CPA termasuk Persidangan Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP).

“Dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif CPA, satu cadangan telah dibawa oleh CWP bagi meningkatkan penyertaan wanita yang sama rata atau sekurang-kurangnya 33 peratus sebagai exco di dalam CPA bagi memastikan suara dan pendapat serta isu-isu berkait dengan wanita diberi keutamaan.

“Dalam hal ini, saya juga berkongsi inisiatif dalam menyokong usaha untuk memperkasa Ahli Parlimen wanita dan mempromosikan kepelbagaian atauintersectionality. Dalam konteks negara kita, ketika ini Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia diwakili oleh 33 wanita atau 14.9 peratus daripada 222 ahlinya,” kata beliau.

Noraini berkata jumlah itu sebenarnya masih kecil berbanding populasi wanita yang merangkumi hampir separuh atau 47.7 peratus daripada 32.5 juta rakyat Malaysia.

Beliau berkata wanita telah memainkan peranan aktif dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Pada 2021, terdapat lebih ramai kakitangan wanita iaitu 56.8 peratus berbanding lelaki iaitu 43.2 peratus di IPT awam kita. IPT awam juga menempatkan lebih ramai pelajar wanita iaitu  61 peratus berbanding lelaki 39 peratus.

“Selain itu, hampir 60 peratus daripada lebih 15,000 kakitangan Kementerian Pengajian Tinggi terdiri daripada wanita. Berdasarkan angka tersebut, saya jangkakan pencapaian yang lebih besar dalam kalangan wanita Malaysia akan dapat dicapai dalam masa terdekat,” katanya.

Justeru, Noraini berkata inisiatif sedemikian adalah selaras dengan idea bahawa apabila wanita diberi peluang untuk mencapai potensi mereka, negara akan menjadi lebih maju secara menyeluruh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here