KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Kabinet semalam bersetuju agar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) sedia ada dipinda bagi memberikan peruntukan undang-undang yang lebih kukuh dalam mendepani ancaman keselamatan siber.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata cadangan pindaan itu  dibentangkan beliau kepada Kabinet semalam dan telah dipersetujui.

“Diharap pada persidangan Parlimen akan datang, kami boleh bentangkan pindaan kedua-dua akta. Antara lain pindaan itu adalah untuk memperkukuh dan mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi melaksanakan aspek keselamatan siber,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Pusat Siber Lakuran Axiata bersempena Celcom Business Tech Week Showcase 2022 di ibu pejabat Celcom, di sini hari ini.

Annuar berkata pindaan itu amat diperlukan kerana ekosistem perkhidmatan telekomunikasi negara kini berdepan dengan ancaman penipuan dalam talian dan penggodaman oleh individu tidak bertanggungjawab. 

Katanya disebabkan ancaman itu, minggu lepas beliau juga telah menjemput Lembaga Pengarah daripada empat entiti di bawah kementeriannya untuk berbincang secara holisitik mengenai isu keselamatan siber.

Keempat-empat entiti itu ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Cyber Security Malaysia (Cyber Security) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

“Perbincangan ini adalah untuk memberi gambaran, persepektif dan harapan saya sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan kerana saya rasakan masih belum cukup, masih ada lagi ikhtiar yang boleh dilakukan, dan orang ramai perlukan suatu bentuk jaminan yang boleh melindungi mereka.

“Jadi melalui perbincangan ini saya nak tengok pelbagai sudut pendekatan yang boleh diambil terhadap kes-kes mangsa scammer (penipu) dan bermacam-macam lagi,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata perlu ada sebuah agensi yang boleh membantu kerajaan mengawal data-data berkenaan bekalan makanan seperti ayam agar ia tidak berterusan mengalami gangguan pada masa depan. 

Katanya untuk mendapatkan data itu, agensi berkenaan mungkin boleh memanfaatkan kewujudan teknologi seperti 5G dan Internet Benda (IoT) bagi melaksanakan aplikasi tertentu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here