PUTRAJAYA, 30 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Program Ambang Merdeka 2022 di Anjung Floria, Presint 4 di sini malam ini yang turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 ahli Keluarga Malaysia yang membanjiri kawasan tapak berkenaan sejak 10 malam.

Ismail Sabri  tiba di Anjung Floria itu pada kira-kira pukul 11.30 malam dengan diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan timbalannya Datuk Seri Jalaluddin Alias. Beberapa menteri Kabinet juga turut hadir antaranya Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tepat detik 12 tengah malam, laungan merdeka sebanyak tujuh kali berkumandang di udara diikuti lagu Tanggal 31 Ogos dendangan Allahyarham Sudirman Arshad, lagu Negaraku dan lain-lain lagu patriotik.

Pertunjukan bunga api selama lebih lima minit turut menerangi dan mewarnai langit Putrajaya diiringi sorakan orang ramai yang teruja memeriahkan program bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 dalam keadaan cuaca yang baik pada malam ini. 

Terdahulu, pengunjung disajikan dengan persembahan artis popular seperti Ella, Haqiem Rusli, Man Bai dan Ameng Spring dan tarian pelbagai kaum.

Orang ramai dan anak kecil kelihatan memegang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan setelah dua tahun tiada sebarang sambutan besar-besaran disebabkan pandemik COVID-19.

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada pagi Rabu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here