MELAKA, 1 Sept — Sistem bekalan elektrik di Hospital Melaka yang berusia 92 tahun dinaik taraf membabitkan kos RM23.88 juta menerusi peruntukan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyediakan keperluan bekalan yang lebih efisien dan stabil.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abdul Rahman berkata ia membolehkan lebih banyak perkhidmatan bagi pembedahan seperti neurosurgeri dapat dilakukan di hospital itu selepas ini.

“Di Hospital Melaka sudah tersedia dewan bedah dan unit rawatan rapi (ICU) bagi prosedur neurosurgeri, namun dengan sistem elektrik baharu ini ia boleh dilakukan tanpa terganggu dan berjalan lancar.

“Seperti contoh jika sebelum ini ada pesakit perlu dirujuk ke Hospital Seremban dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan neurosurgeri, prosedur itu kini boleh dijalankan tanpa kekangan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Naiktaraf Sistem Bekalan Elektrik Hospital Melaka (Reka dan Bina) yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Datuk Ismail Abd Rahman.

Projek yang diselia urus JKR Melaka dan dilaksanakan oleh kontraktor dilantik, mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk disiapkan sepenuhnya pada 15 Ogos lepas.

Dr Rusdi berkata buat masa ini, hanya terdapat seorang pakar neurosurgeri di hospital itu dan slot bagi pembedahan juga akan ditambah lebih banyak lagi untuk membolehkan lebih ramai pakar datang merawat tanpa pesakit perlu merujuk ke hospital lain.

“Selain itu, beberapa lagi kemudahan di Hospital Melaka juga akan dinaik taraf seperti makmal atau dewan bedah untuk rawatan kardiologi seperti prosedur memasukkan stent ke dalam arteri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here