BEIJING, 6 Sept — Sekurang-kurangnya 46 orang dilaporkan terbunuh dan 16 hilang dalam kejadian gempa bumi berukuran magnitud 6.8 yang melanda Sichuan, semalam.

Gempa bumi itu turut menyebabkan tanah runtuh dan menggegarkan bangunan di ibu kota Chengdu, dengan 21 juta penduduknya berada di bawah perintah berkurung COVID-19. 

Gempa turut melanda kawasan pergunungan di daerah Luding selepas tengah hari.

Sichuan, yang terletak di pinggir dataran tinggi Tibet, di mana plat tektonik bertemu kerap dilanda gempa bumi. 

Dua gempa bumi pada bulan Jun lalu mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang. 

Selain kematian, pihak berkuasa melaporkan batu dan tanah jatuh dari lereng gunung menyebabkan kerosakan pada rumah dan gangguan bekalan elektrik.

Menurut Kementerian Pengurusan Kecemasan, satu kejadian tanah runtuh menghalang lebuh raya di kawasan luar bandar dan menyebabkan ia dipenuhi batu.

Bangunan bergegar di Chengdu, 200 kilometer (125 batu) dari pusat gempa.

Bekalan elektrik terputus dan bangunan musnah di kota bersejarah Moxi, di wilayah Garze, autonomi Tibet, di mana 29 orang terbunuh.

Khemah dibangunkan untuk lebih 50,000 orang yang dipindahkan dari kediaman masing-masing kerana didapati tidak selamat akibat gempa bumi.

Penyiar stesen televisyen negeri, CCTV menunjukkan pasukan anggota penyelamat menarik seorang wanita daripada runtuhan rumah di Moxi, di mana kebanyakan bangunan dibina daripada campuran kayu dan bata.

Kira-kira 150 orang dilaporkan mengalami pelbagai kecederaan. Sebelum ini, pihak berkuasa melaporkan tujuh kematian di daerah Luding dan 14 lagi di daerah Shimian, di selatan. 

Tiga yang maut adalah pekerja di Kawasan Pemandangan Hailuogou, glasier dan hutan simpan alam semula jadi.

Seorang penduduk, Jiang Danli, berkata beliau bersembunyi di bawah meja selama lima minit di apartmennya di tingkat 31 ketika kejadian gempa bumi itu.

Bagaimanapun, ramai jirannya bergegas turun ke bawah, bimbang dengan gegaran susulan

“Berlaku gempa bumi kuat pada bulan Jun lalu, namun ia tidak begitu menakutkan. Kali ini saya benar-benar takut kerana saya tinggal di tingkat tinggi dan gegaran itu membuatkan saya pening,” katanya.

Gempa bumi dan penutupan susulan gelombang haba dan kemarau menyebabkan bekalan air dan elektrik terputus memandangkan Sichuan bergantung kepada kuasa hidro.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) merekodkan 6.6 magnitud gempa hari ini pada kedalaman yang agak cetek 10 kilometer. 

Pengukuran awal oleh pelbagai agensi selalunya berbeza sedikit. Gempa bumi paling berbahaya dialami China adalah 7.9 magnitud pada 2008 yang mengorbankan hampir 90,000 orang di Sichuan. 

Gegaran itu memusnahkan bandar, sekolah dan komuniti luar bandar di luar Chengdu, yang membawa kepada usaha selama bertahun-tahun untuk membina semula dengan menggunakan bahan yang lebih tahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here