BERA, 11 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu program ‘Kampungku Mahir’ anjuran GiatMARA yang antara lain menawarkan perkhidmatan baik pulih pendawaian serta membaiki motosikal diperluaskan ke lebih banyak kawasan kampung.

Beliau berkata program itu bukan hanya memberi faedah kepada penduduk yang menerima perkhidmatan daripada warga GiatMARA, namun dalam masa sama membolehkan penduduk khususnya golongan belia turut mempelajari kemahiran asas yang diperlukan mereka sepanjang pelaksanaan program berkenaan. 

“Kemahiran seperti membaiki motosikal sebagai contoh boleh diajar kepada golongan muda dan selepas itu, mungkin bukan hanya boleh membaiki motosikal sendiri, namun kemahiran tersebut  boleh  digunakan untuk bekerja dengan orang lain atau membuka bengkel sendiri. 

“Saya setuju untuk program yang membawa manfaat seperti ini diperluaskan ke lebih banyak kawasan dan GiatMARA adalah satu daripada kisah kejayaan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya. 

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata demikian semasa berucap pada Moh Ngeteh & program tinjauan mesra ‘Kampungku Mahir’ di Dewan Kampung Kuala Triang, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi GiatMARA, Datuk Dr Din Adam. 

Program kemahiran anjuran GiatMARA juga merangkumi pelbagai, menjadikan institusi latihan itu sebagai pilihan yang mana Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan seramai 13,593 usahawan berjaya dilahirkan dengan 40 daripada mereka kini berstatus jutawan. 

Setakat ini, terdapat 232 cawangan GiatMARA di seluruh negara dengan pelbagai latihan kemahiran ditawarkan seperti masakan dan pramusaji, mekanikal, pembuatan, elektrikal, hospitaliti, seni reka gaya rambut, teknologi automotif serta teknologi penyejubekuan dan penyaman udara. 

“Saya difahamkan 80 peratus daripada mereka yang mengikuti latihan di GiatMARA mendapat kerja yang bagus. Saya pernah jadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini dan ramai berminat untuk masuk GiatMARA,” katanya.   

Pada program tersebut, Ismail Sabri turut meluangkan masa hampir dua jam beramah mesra dan meninjau gerai makanan diusahakan pelajar GiatMARA dan penduduk setempat selain meninjau rumah penduduk kampung yang mendapat perkhidmatan pendawaian dan membaiki motosikal daripada warga institusi latihan itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here