MELAKA, 16 Sept — Hari Malaysia 2022 yang disambut di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda HIlir di sini malam ini turut mengangkat muzik tradisional Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Penyanyi dan pemain sape dari Bumi Kenyalang, Alena Murang, 33, berkata persembahan alat muzik itu pada sambutan Hari Malaysia 2022 merupakan pentas terbaik untuk beliau menyebar luas muzik tradisional Borneo dan Bahasa Dayak agar lebih dikenali di negara ini.

“Saya membawakan lagu bertajuk Meno’ dalam Bahasa Kenyah ataupun rindu jika diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. Lagu ini sering dinyanyikan oleh orang-orang tua kami ketika mereka berjauhan daripada keluarga kerana berkelana selama berbulan-bulan ke tempat lain,” katanya kepada Bernama.

Alena, yang belajar bermain sape ketika berusia 11 tahun, berkata bagaimanapun lagu Meno’ telah diberi nafas baharu apabila digubah secara kontemporari dengan iringan gitar akustik dan bes.

Berguru dengan Master Sape Mathew Ngau Jau, pemegang Ijazah Pengurusan Perniagaan dari Universiti Manchester itu berkata suatu ketika dahulu, kaum hawa dilarang menyentuh atau mempelajari alat muzik tersebut kerana ia dikatakan khusus untuk lelaki.

Alena berkata ketika itu, sape digunakan bagi upacara ritual serta penyembuhan dan pemain akan memainkan alat muzik tersebut jika ada ahli keluarga atau penduduk yang sakit namun selari dengan peredaran zaman, ia mula dipelajari oleh golongan wanita untuk hiburan.

“Ketika mula-mula belajar pada tahun 2000, tiada wanita terutama daripada generasi saya yang berminat untuk belajar bermain alat muzik itu. Saya tergerak hati untuk bermain sape ketika belajar menari bersama sepupu ketika tinggal di Kuching,” katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Tahun lepas, wanita suku Kelabit itu membanggakan negara apabila video muziknya bertajuk ‘Warrior Spirit’ memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa termasuk muzik video terbaik di Anugerah Filem Antarabangsa New York, Anugerah Khas Juri di Anugerah Filem Los Angeles 2021 serta muzik video terbaik Asia dan Pasifik di Anugerah Muzik Video Antarabangsa United Kingdom.

Video muzik itu, yang dilancarkan pada Mei 2021, diarahkan oleh sepupu Alena, Sarah Lois Dorai dan diterbitkan bersama syarikat produksi Project Room.

Sambutan kali ini turut menampilkan keunikan tersendiri melalui tema busana era 50-an dan 60-an bagi meraikan Hari Malaysia 2022.

Kira-kira 20,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan sambutan julung kali diadakan di Semenanjung itu.

Buku khas seberat 25 kilogram itu, yang dibawa oleh pegawai-pegawai Arkib Sabah, kemudian ditandatangani Jeffrey mewakili Ketua Menteri Sabah, Awang Tengah mewakili Premier Sarawak dan Ismail Sabri.

Tiupan serunai dan gendang silat kembali menggegarkan suasana menerusi persembahan dalam Segmen Pahlawan Bangkit ‘Bahang Nasionalisme Tanah Air Kita’ menerusi pentomin menggabungkan pasukan seni bela diri seperti silat, wusyu, silambam, Sabah dan Sarawak kemudian melatari puisi Perjuangan yang dibawakan Shaharuddin.

Menghidupkan kembali nostalgia pengisytiharan pertama kemerdekaan negara pada 20 Feb 1956 di tapak bersejarah itu, diorama perarakan masuk Tunku Abdul Rahman bersama kereta antik dan rombongan ditemani Tun Tan Cheng Lock ke pentas utama disambut barisan kelab basikal tua, kelab vespa dan kumpulan rakyat pelbagai kaum sambil dilatari sedutan ucapan Bapa Kemerdekaan itu di Padang Pahlawan.

Hadirin kemudian dibawa ‘menyeberangi’ Laut China Selatan ke Borneo dengan persembahan diorama berserta monolog Pahlawan Datu Mat Salleh menunggang kuda memimpin pasukannya menentang penjajah selain visual sejarah pembentukan Malaysia melibatkan tokoh pejuang Sabah lain seperti Antanom, Tun Datu Mustapha Haron dan Tun Fuad Stephens.

Diorama Pahlawan Rentap meneruskan persembahan dengan dialog berlatarbelakangkan visual perjuangan Rentap, Sharif Masahor, Rosli Dhobi, Temenggung Jugah, Kanang Anak Langkau dan pembangunan Bumi Kenyalang sehingga kini.

Penyanyi dan pemain sape, Alena Murang, kemudian mengambil alih pentas dan memukau hadirin apabila menyanyikan lagu etnik Kenyah bertajuk Meno’ yang digubah dengan irama kontemporari.

Penyanyi Datuk Nash pula membawakan lagu Seruan diiringi pentomin memaparkan anggota keselamatan memperjuang kemerdekaan negara seakan menyeru semangat kepahlawanan dalam sanubari hadirin menerusi medley Rakyat Titiwangsa dalam segmen Teguh Banjaran Titiwangsa.

Dalam segmen itu juga, penonton dibawa menelusuri budaya masyarakat Semenanjung yang diterjemah menerusi persembahan lagu Bah Bola oleh Sali Bahbola dan Orang Asli Gombak, Warisan (Kenny Lee dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah), Kurik Kundi (Nadhiya Zaini dan Briged Seni Melaka) dan persembahan dikir rambong oleh Roy Kapilla.

Menutup sambutan, lagu Keluarga Malaysia Teguh Bersama ciptaan Annuar dimainkan diiringi kibaran Jalur Gemilang oleh artis budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta hadirin disusuli pertunjukan bunga api.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here