KUALA LUMPUR, 18 Sept — Belia masyarakat India berhak menikmati masa depan yang lebih baik di negara ini, kata Presiden MIC, Tan Sri SA. Vigneswaran.

Justeru, Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata hasrat dan usaha MIC adalah untuk membina sebuah masyarakat kaum India yang progresif serta bebas daripada gejala sosial.

“Generasi muda hari ini adalah satu-satu harapan kami untuk hari esok yang lebih baik. Generasi muda kita perlu dibimbing ke arah yang betul.

“Golongan anak muda ini perlu diberi pendidikan serta mendapat sokongan supaya mereka dapat membina masa depan yang lebih baik untuk negara,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan dan Pameran Pencegahan Jenayah, di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Sementara itu, Vigneswaran, berkata dalam usaha merancang dan menentukan hala tuju strategik pembangunan belia india, kerajaan serta pihak-pihak berkepentingan harus melabur lebih banyak dalam masa hadapan belia masyarakat India.

Sebagi permulaan, menurutnya, Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) kini berada dalam peringkat akhir pelaksanaan.

“Kita harus sedar, MIB ini merupakan salah satu kejayaan nyata dalam pembangunan dasar negara untuk masyarakat India,” katanya.

Selain itu, Vigneswaran, berkata Briged MIC Kebangsaan yang dilancarkan pada 30 Mac 2003 adalah institusi untuk belia-belia bermasalah ‘dilahirkan’ semula menjadi insan yang berfaedah kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Katanya, pihaknya telah menggalas tanggungjawab secara serentak serta bersungguh-sungguh dan yakin melalui proses penyediaan mantap dalam usaha melahirkan generasi pelapis yang berkualiti.

“Briged menjadi platform yang terbaik untuk golongan muda terutamanya golongan muda dalam kalangan kumpulan B40 untuk mencatur semula masa hadapan mereka.

“Hasilnya, bukan sekadar beribu-ribu golongan pemuda India mula berjaya dibimbing dan terus diperkasa dalam kegiatan kemasyarakatan, pembinaan sahsiah dan kepimpinan, malah kekuatan politik MIC sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat India telah terus terpelihara,” katanya.

Menurutnya, dengan dimensi masalah yang dihadapi masyarakat India, Briged MIC telah menjadi wadah perjuangan Pemuda MIC untuk menyantuni golongan pemuda di seluruh negara pada ketika itu dan mengurangkan kecenderungan mereka daripada terjebak dalam aktiviti jenayah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here