KUALA LUMPUR, 21 Sept — Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mencapai kejayaan bersejarah dengan menghantar penerima geran Malaysia ke-1,000 ke Amerika Syarikat (AS) di bawah Program Fulbright pada 17 Sept lepas.

Program Fulbright memupuk perkongsian akademik antara pelajar dan sarjana di AS dan Malaysia, dan peserta dihoskan oleh rakan kongsi program yang terdiri daripada universiti awam dan swasta serta organisasi bukan akademik di seluruh Amerika.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Malaysia komited ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala dengan AS menerusi MACEE dan Program Fulbright untuk memperoleh pencapaian yang lebih besar pada masa hadapan.

“Malaysia adalah sebuah negara yang mengejar matlamat untuk menjadi hab antarabangsa bagi pendidikan tinggi berkualiti.

“Hubungan dua hala antara Malaysia dengan AS dalam bidang pendidikan tinggi dicerminkan oleh pencapaian baharu ini yang menjadi bukti kerjasama yang berjaya menerusi penganugerahan geran, kerjasama penyelidikan, pertukaran dan lawatan oleh ahli akademik dan pelajar dari kedua-dua negara,” kata Noraini yang juga Pengerusi Bersama MACEE Kehormat dalam kenyataan dikeluarkan MACEE.

Sementara itu, Duta Besar AS ke Malaysia Brian McFeeters berkata Program Fulbright telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan setiap rakyat AS-Malaysia melalui pertukaran pendidikan selama lebih 50 tahun.

“Kami berharap dapat meraikan lebih banyak pencapaian dan meningkatkan persefahaman antara rakyat Malaysia dengan Amerika melalui pendidikan tinggi,” katanya.

Peserta Fulbright 2022 memulakan perjalanan mereka ke AS seawal Januari bagi mengikuti pelbagai program di institusi akademik dan pusat penyelidikan AS terkemuka untuk pelbagai subjek daripada pertanian kepada pemerkasaan ekonomi wanita.

Kumpulan baharu itu akan menjadi sebahagian daripada Alumni Fulbright Malaysia dan Rangkaian Fulbright Global sedia ada dengan lebih 400,000 orang dari 160 negara yang mengambil bahagian termasuk ketua negara atau kerajaan, pemenang Hadiah Nobel dan Hadiah Pulitzer.

MACEE mentadbir lapan Program Fulbright yang ditaja bersama dan menguruskan pertukaran 1,000 rakyat Malaysia ke AS dan kira-kira 2,000 rakyat Amerika di bawah program itu sejak menandatangani perjanjian binasional antara dua negara pada 1963.

Rakyat Malaysia yang ingin mendaftar di bawah biasiswa Fulbright boleh melayari laman web MACEE www.macee.org.my atau hubungi fulbrightmalaysia@macee.org.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here