KUALA TERENGGANU, 21 Sept — Penantian lebih 20 tahun penduduk Pulau Perhentian dan Pulau Redang untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam bakal menjadi kenyataan dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia susulan kelulusan Projek Pulau Tenaga di dua pulau itu oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada 6 Julai lepas.

Beliau berkata projek itu dijangka memberi sumber bekalan tenaga kepada hampir 600 pengguna domestik, pengguna komersial, pengusaha hotel, resort serta chalet yang beroperasi di pulau berkenaan.

“Kerajaan negeri cukup memahami kesukaran dan masalah yang dialami oleh pengguna terutama pengusaha hotel dan resort disebabkan bekalan elektrik yang terhad.

“Justeru, kami sedaya upaya memohon supaya disegerakan projek itu yang difahamkan telah dibuat permohonan 20 tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ariffin berkata beliau difahamkan masalah kos terlalu tinggi yang melibatkan pemasangan kabel fiber optik dianggarkan sepanjang 21 kilometer di dasar laut, menjadi kekangan kepada pelaksanaan projek itu sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here