KUALA LUMPUR, 22 Sept — Pengguna pengangkutan awam Rapid KL terpilih kini boleh menjalankan audit bebas terhadap kesediaan stesen dan hab utama perkhidmatan tren Rapid KL menerusi program Mystery Shopper Audit Kesediaan dan Siap Siaga Stesen (AKSES).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sukarelawan yang terpilih selepas mendaftar melalui aplikasi Pulse, akan menjalankan audit itu kepada perkhidmatan dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan Transit Aliran Bas (BRT).

“Saya rasa ini adalah satu proses penilaian iaitu pertama pengurus stesen buat sendiri, kedua oleh kumpulan Prasarana yang secara khusus diberi mandat untuk melihat dan membuat pengesahan sama ada pihak pengurus stesen itu terlalu beri markah tinggi atau sebaliknya.

“Ini kita akan lihat dari segi kejituan penilaian itu, proses ini melibatkan pihak luar iaitu Mystery Shoppers yang kita mengajak atas nama ketelusan, kita minta lebih ramai orang untuk menyertai program ini dan sama-sama kita membuat audit dan saya nak pastikan kemudahan ini sentiasa dipantau dan akhirnya akan memberi manfaat kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan tren setiap hari,” katanya pada sidang media Program AKSES di sini hari ini. 

Beliau berkata selain penilaian kendiri yang dilaksanakan oleh pengurus stesen, penilaian bebas oleh Mystery Shopper membolehkan pihak Prasarana memberi pengesahan kepada audit kendiri seterusnya menerima pandangan dan cadangan penambahbaikan untuk meningkatkan pengalaman pengguna bagi pengguna pengangkutan awam.

Terdahulu, enam ahli panel iaitu pengguna pengangkutan awam Rapid KL yang menjalankan audit bebas bagi program Mystery Shopper anjuran Prasarana yang julung kali diadakan hari ini menyampaikan pandangan mereka dalam sesi perbincangan yang disertai Ketua Pegawai Kumpulan Kesihatan, Keselamatan, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Prasarana Idzqandar Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Amir Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin. 

Tujuan utama inisiatif ini adalah mendapatkan pandangan telus daripada penumpang sepanjang menggunakan perkhidmatan Rapid KL, maklum balas daripada penumpang membantu Rapid KL untuk memperbaiki perkhidmatan demi keselesaan serta kemudahan semua.

Prasarana menubuhkan Jawatankuasa AKSES bagi memastikan kemudahan buat para pengguna pengangkutan awam berada di tahap optimum sepanjang menggunakan perkhidmatan Rapid KL. 

AKSES melibatkan audit kendiri yang menyeluruh oleh pengurus stesen ke atas 147 stesen tren dan 10 hab bas pada setiap suku tahun, merangkumi beberapa kawasan fokus termasuk kebersihan, kemudahan akses, pencahayaan, fasiliti, papan tanda, lif serta eskalator.

Audit AKSES yang pertama telah dijalankan pada Ogos tahun ini dan hasil audit itu mendapati 74 peratus daripada stesen berada dalam keadaan baik dan penilaian purata prestasi stesen berada pada tahap 2.82 daripada markah penuh 3.00.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here