KUALA LUMPUR, 24 Sept — Kejayaan beregu badminton utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gelaran dunia terus mendapat pengiktirafan.

Kali ini gandingan itu menerima insentif berjumlah RM100,000 daripada Southern Score Builders Berhad, sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan pembinaan, di sini hari ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Gan Yee Hin, yang menyerahkan replika cek kepada Aaron dan Wooi Yik, dalam ucapannya berkata insentif itu diberi sebagai penghormatan kepada kejayaan cemerlang pasangan itu yang merangkul gelaran dunia pertama buat Malaysia di Tokyo, bulan lepas.

“Kami percaya gelaran dunia ini hanyalah permulaan dalam kerjaya badminton mereka. Kami harap hadiah ini akan memberi lebih motivasi untuk mereka meraih pencapaian yang lebih hebat dan membawa kejayaan kepada negara pada arena dunia.

“Kami harap usaha pemberian insentif ini akan memberi inspirasi kepada pihak lain untuk membantu generasi baharu pemain yang berani menceburi bidang sukan sebagai karier mereka,” katanya.

Gan berkata syarikat itu turut menyumbang RM200,000 kepada Kelab Badminton Petaling (PBC) iaitu kelab yang melatih kedua-dua atlet itu sebelum mereka menyertai pasukan kebangsaan.

“Kami harap sumbangan itu dapat menyokong usaha mereka (PBC) dalam melatih bakat untuk mewakili negara. PBC mempunyai sejarah melahirkan beberapa pemain terkenal negara seperti Chen Tang Jie, Cheam June Wei, Man Wei Chong dan Goh V Shem,” katanya.

Sementara itu, Aaron, yang berterima kasih kepada syarikat itu serta semua rakyat Malaysia yang menyokong mereka selama ini, berkata insentif seumpama itu mendorong mereka untuk memenangi lebih banyak kejuaraan.

Awal bulan ini, pemenang gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu menerima insentif berjumlah RM500,000 bagi kejayaan mereka di Jepun daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan beberapa penaja rasmi. 

Pada 28 Ogos, Aaron-Wooi Yik menewaskan juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, 21-19, 21-14, sekali gus menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk merangkul gelaran sulung kejohanan dunia. 

Dalam pada itu, Aaron berkata beliau kini dalam proses pemulihan susulan kecederaan pada bahagian bahu kanan yang memaksa mereka menarik diri daripada Terbuka Jepun, bulan lepas.

“Sudah 80-90 peratus sembuh, Selasa ini akan lakukan MRI sekali lagi untuk lihat tahap kecederaan,” katanya. 

Wooi Yik pula berharap mereka dalam tahap terbaik untuk bertanding dalam Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis bulan depan, serta Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Disember ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here