KUALA LUMPUR, 28 Sept — Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) mempunyai peranan penting dalam menambah baik ketersambungan sejagat dan mengurangkan jurang digital, yang memerlukan tindakan segera, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata terdapat hampir tiga bilion orang di seluruh dunia yang tidak mempunyai peluang untuk berhubung, justeru ITU mempunyai tugas penting bagi merapatkan jurang dalam kalangan negara anggota dan jurang perbezaan antara serantau.

“Sebagai contoh negara yang lebih miskin atau membangun akan menghadapi masalah lebih besar dengan kemajuan teknologi, melainkan negara itu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, rakyat di negara itu tidak akan mendapat hak terhadap teknologi.

“Jadi, saya fikir ITU akan berhadapan cabaran besar bagi memastikan semua negara boleh berhubung, semua orang mendapat akses yang sama kepada ketersambungan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan ecopoliticnews.com di luar acara Persidangan Plenipotensiari ITU 2022 (ITU PP22) di Bucharest, Romania .

Annuar berkata bagi Malaysia, ketersambungan kini menjadi sebahagian daripada hak asasi manusia, yang bermaksud kehidupan tidak akan sama kecuali anda dapat berhubung.

“Semua aktiviti ekonomi dipengaruhi oleh sama ada anda mempunyai akses kepada Internet yang baik dan mampu milik atau tidak, jadi ia menjadi sesuatu yang asas seperti mempunyai (bekalan) air atau elektrik,” katanya.

Dalam hal ini, Annuar berkata ITU perlu terlibat dengan negara anggota dan menawarkan bantuan untuk memastikan negara membangun tidak ketinggalan dalam mendapatkan kebolehcapaian dan peluang untuk mereka berhubung.

ITU yang ditubuhkan lebih 150 tahun dahulu, ialah organisasi antara kerajaan yang objektif utamanya ialah menyelaras penggunaan spektrum radio yang selamat di peringkat global, menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam penugasan orbit satelit, menambah baik infrastruktur komunikasi di negara membangun dan mewujudkan standard seluruh dunia untuk menggalakkan saling hubungan yang lancar bagi pelbagai sistem komunikasi.

Ditanya mengenai rancangan untuk membangunkan perniagaan di Romania, Annuar berkata Malaysia sedang mengintai kerjasama yang boleh memanfaatkan rakyat kedua-dua negara termasuk telekomunikasi.

“Saya fikir prospek menjadikan Romania gerbang ke Eropah adalah sesuatu yang patut diteliti. Dengan pelabuhan Constanta, urusan ke Eropah timur akan lebih cepat dan mudah berbanding semuanya didominasi oleh pelabuhan Turkiye.

“Terdapat juga bidang lain berkenaan eksport Malaysia, khususnya memandangkan kami adalah satu daripada peneraju dalam (rangkaian) mikrocip dan semikonduktor, dan saya rasa perkara ini satu daripada bidang yang mendapat permintaan tinggi.

“Saya fikir segalanya mungkin, tetapi kita perlu bekerjasama rapat dan cuba melihat kepada kemungkinan lain juga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here