KUALA LUMPUR, 8 Okt — PAS tetap dengan pendirian meneruskan usaha penyatuan ummah yang membabitkan ‘komitmen’ antara parti itu dengan UMNO dan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata PAS berpandangan bahawa perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan antara ketiga-tiga parti teras Melayu itu seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.

“… (rundingan antara ketiga-tiga parti) termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan kerusi yang sedang diusahakan,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini.

Beliau turut mengulangi bahawa PAS, yang menerajui Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak akan membangkitkan tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.

Katanya ia bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November hingga Mac 2023 selain usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Rabu lepas, Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad berkata pucuk pimpinan tertinggi parti itu akan bermesyuarat bagi membincangkan perkara berkaitan ketetapan berhubung kerjasama dengan rakan politik dan pembubaran DUN di tiga negeri yang ditadbir PAS.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata kerajaan negeri yang diterajui parti itu tidak akan membubarkan DUN masing-masing sebelum Mac 2023.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Hadi pernah memberi gambaran bahawa PAS akan terus mengusahakan kerjasama antara parti Melayu utama termasuk UMNO dan Bersatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here