KUALA LUMPUR, 8 Okt — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, termasuk ketidaktentuan yang dijangka berlaku pada 2023 walaupun menerima peruntukan lebih rendah.

Dalam Bajet 2023, KPPK menerima peruntukan sebanyak RM495.9 juta yang merangkumi masing-masing RM241 juta bagi perbelanjaan mengurus manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM254.8 juta.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ini merupakan pengurangan sebanyak RM176 juta atau 26 peratus berbanding peruntukan pada tahun lepas.

“Tahun depan dijangka akan lebih mencabar berikutan unjuran inflasi melanda dunia. Namun KPPK bertekad untuk menghadapinya demi membangunkan industri agrikomoditi termasuk menjamin kemampanan industri, produktiviti melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, pembangunan pasaran selain mengimbangi kekayaan secara saksama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bajet tahun depan menumpukan pembangunan sektor agrikomoditi lebih bersasar dengan penambahbaikan rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi, pembangunan kawasan penanaman getah bagi pekebun kecil dan program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia.

Antara perkara yang ditumpukan dalam bajet tersebut adalah penyaluran semula hasil levi tambahan bagi menyokong majikan membiayai inisiatif automasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Mengulas perkara itu, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) berkata walaupun sektor perladangan menunggu butiran lanjut cadangan tersebut, kalangan peladang ternyata terkejut sekiranya ini berasaskan nisbah pekerja asing-pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan tenaga asing serta menggalakkan penyertaan tempatan dalam pasaran tersebut.

“Dalam sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, kami telah berulang kali menyatakan bahawa ini tidak mungkin dapat dilaksanakan.

“Sebaliknya, penambahbaikan nisbah tanah-pekerja yang dikaitkan dengan mekanisasi telah dicadangkan sebagai pilihan praktikal untuk semakan levi yang melibatkan sektor perladangan,” kata Ketua Eksekutif MPOA Joseph Tek Choon Yee dalam satu kenyataan berasingan.

Jelas beliau, sistem levi pelbagai peringkat itu akan memberi tekanan tidak wajar ke atas kos operasi perladangan dalam perniagaan komoditi yang merupakan pihak penerima dan bukannya penentu harga, sekali gus kesukaran melepaskan kos terbabit kepada pengguna.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here