KUALA LUMPUR, 10 Okt — Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob teruja ketika beramah mesra dengan pesara guru tadika, Chee Hoi Lan, 83, yang menerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam. 

Ismail Sabri menerusi catatan di Facebooknya, semalam turut menyifatkan Hoi San lambang Keluarga Malaysia yang beliau impikan.

“Hari ini (semalam), saya hadir ke majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Majlis ini disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong (Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) yang berkenan berangkat menyempurnakan majlis sambutan pada kali ini.

“Saya berasa teruja dan sempat beramah mesra dengan seorang pesara guru tadika berbangsa Cina, Chee Hoi Lan yang membesarkan seorang kanak-kanak beragama Islam dan menjadi antara penerima Anugerah Maulidur Rasul tahun ini.

“Beliau menerima anugerah dalam kategori Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia, atas pengorbanan membesarkan anak angkatnya, Rohana Abdullah sebagai orang Islam, selepas ditinggalkan pada usia dua bulan oleh ibu, pembantu warga Indonesia. 

“Walaupun beliau beragama Buddha, beliau membesarkan anak itu secara Islam. Beliau tidak cuba menukar agama anak itu yang belum pun mengenal dan memahami mengenai agama. Beliau memastikan anak tersebut mengenali hukum Islam, belajar fardu ain dan makan makanan halal. Hoi San melambangkan Keluarga Malaysia yang saya impikan,” katanya. 

Pengorbanan menyentuh hati dilakukan Hoi San atau mesra dipanggil Laoshi pernah disiarkan media sebelum ini. 

Demi kasih sayang Laoshi terhadap Rohana, wanita itu sanggup mengeluarkan wang demi memastikan anak angkatnya dapat belajar serta mendalami syariat Islam.

Laoshi tidak pernah menjadikan perbezaan budaya dan agama sebagai penghalang untuk dia menumpahkan kasih sayang kepada Rohana seperti anak sendiri malah memastikan anak angkatnya mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) untuk mempelajari ajaran Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here