GEORGE TOWN, 11 Okt — Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP masih mengunci mulut mengenai keputusan yang dicapai berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang susulan pembubaran Parlimen Penggal ke-14.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow masih enggan mendedahkan keputusan yang dicapai selepas dua kali mempengerusikan mesyuarat dengan pimpinan tertinggi DAP negeri dan pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

“Kami sudah mencapai satu kata putus yang perlu merujuk kepada PH pusat sebelum membuat sebarang pengumuman,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan PH di sini hari ini.

Chow berkata kata putus sama ada DUN Pulau Pinang dibubarkan atau sebaliknya perlu dibawa kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14 itu, Ismail Sabri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

Majlis Presiden PH sebelum ini memutuskan tiga negeri yang ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang turut menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Chow hari ini, telah menyuarakan pendirian PKR negeri untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang.

“Keputusan kami ikut Majlis Presiden PKR…memanglah ada pros and cons,(kalau tidak bubar), tapi kita kena hormat keputusan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim), untuk tidak bubar tiga negeri Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here