KUALA SELANGOR, 20 Okt — Walaupun berhadapan kesukaran kerana tidak mendapat persetujuan kerajaan negeri, penganjuran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Selangor tetap dilangsungkan kerana ia adalah untuk kepentingan golongan usahawan di Selangor.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau difahamkan penganjuran karnival sehari itu berdepan kesukaran kerana kerajaan Selangor tidak bersetuju membenarkan penggunaan tapak karnival itu di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam di sini.

Namun, katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival itu hari ini, karnival itu dapat dilangsungkan kerana tapak berkenaan adalah milik swasta.

“Alhamdulillah, tapak yang digunakan ini tapak swasta dan kita dapat kebenaran dari tuan tanah. Jadi saya harap mana-mana kerajaan negeri sekalipun, kalau untuk kepentingan penjaja serta usahawan kecil, elok kita bagi ruang kepada semua,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata penganjuran karnival tersebut adalah untuk memberi ruang khususnya kepada usahawan dan peniaga kecil berniaga dan bukan untuk tujuan berkempen. 

“Karnival keusahawan ini memberi ruang kepada usahawan untuk pamer produk dan berniaga. Program yang baik sepatutnya disokong semua pihak termasuklah kerajaan negeri,” katanya.

Ismail Sabri berkata penganjuran karnival itu juga merupakan manifestasi tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan ekosistem keusahawanan yang holistik serta kondusif.

Perdana Menteri percaya bahawa pelaksanaannya akan dapat memperkasakan golongan usahawan dan koperasi yang ada untuk terus berkembang maju serta berdaya saing dalam bidang perniagaan.

“Alhamdulillah, saya difahamkan program ini berjaya menghimpunkan sebahagian warga Selangor terdiri daripada usahawan, koperasi, penjaja, peniaga kecil dan trak makanan yang menawarkan pelbagai produk dan barangan pada harga berpatutan.

“Saya ucapkan tahniah kerana dimaklumkan bahawa sasaran kehadiran hari ini hanya 4,000 orang tapi jelas kehadiran menghampiri 10,000 orang. Bukan mudah untuk mengumpulkan seramai ini terutama hari ini hari bekerja,” katanya.

Turut hadir Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tan Sri Noh Omar.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here