JOHOR BAHRU, 22 Okt — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir.Hasni Mohammad tidak menolak kemungkinan namanya berada dalam pertimbangan pucuk pimpinan parti (UMNO) untuk bertanding di luar kawasan keahliannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tanpa mendedahkan kerusi Parlimen yang akan ditandingi, Ketua UMNO Bahagian Pontian itu berkata tindakan meletakkan calon luar  bukanlah untuk kepentingan individu sebaliknya demi kemenangan parti selain untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa saya dalam pertimbangan pucuk pimpinan untuk disenaraikan bertanding bagi kawasan lain selain Parlimen saya menjadi anggota iaitu Pontian… saya sendiri jika diberi peluang dapat bertanding sudah dikira bagus, itu yang penting, kerusi mana tidak kisah.

“Tindakan ini juga untuk mengetengahkan potensi serta masa depan politik dalam kita menyusun strategi untuk menawan sekurang-kurangnya 16 hingga 17 kerusi Parlimen (daripada keseluruhan 26 kerusi) pada PRU15,” kata bekas Menteri Besar Johor itu kepada pemberita  selepas merasmikan pembukaan cawangan ke-10 Al Ikhlas Gajet di Larkin, di sini, hari ini.

Hasni, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, juga tidak menolak tindakan meletakkan calon luar bakal menimbulkan reaksi dalam kalangan ahli UMNO setempat, namun yakin ia akan dapat diuruskan dengan bijak.

Sementara itu, beliau berkata BN mempunyai calon yang terbaik untuk ditampilkan di Parlimen Pagoh yang disandang Pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here