KUALA LUMPUR, 22 Okt — MIC berharap akan diberi lebih daripada sembilan kerusi Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan kepada sokongan masyarakat India kini yang semakin bertambah baik terhadap parti, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau bagaimanapun menegaskan parti itu tidak memberi tekanan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menunaikan permintaan itu, dan berkata perkara berkenaan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk dipertimbangkan.

“Bila banding dengan PRU14 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, kita lihat perubahan yang besar dalam masyarakat India, daripada sebelum ini 10 peratus sokongan pada PRU14, tetapi di PRK Cameron Highland dan seterusnya PRN, kita dapat (sokongan) hampir 37 peratus.

“Saya yakin keadaan ini (sokongan) akan bertambah pada PRU15,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau persiapan Deepavali di Brickfields di sini malam ini.

Katanya beliau juga bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Tapah yang dimenanginya sejak tiga penggal lalu, pada PRU15 ini.

Terdahulu, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dilaporkan berkata parti itu kekal bertanding di semua kerusi tradisinya pada PRU15 iaitu sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here