KUALA LUMPUR, 28 Okt — Festival Beli-belah Global 11.11 Alibaba Group Holding Ltd bagi edisi ke-14 kali ini akan menampilkan lebih 290,000 jenama, dengan tumpuan untuk membantu peniaga berkembang secara lebih jelas dan mengadakan acara yang innovatif dan hijau.

Menurut platform dalam talian itu antara inisiatif lain ialah peniaga akan dilengkapi dengan alat dan penyelesaian untuk mengembangkan program keahlian kesetiaan jenama masing-masing bagi membantu meraih hasil pada dan selepas 11.11 selain mereka juga akan memperkenalkan produk baharu.

Presiden Pusat Pembangunan Industri dan Operasi Taobao dan Tmall, Alibaba Group, Chui Xue berkata bersama rakan kongsi, Alibaba Group mahu memanfaatkan inovasi teknologi dan operasi digital untuk menjadikan acara 11.11 tahun ini sebagai pemacu terbaik untuk peniaga melonjakkan jumlah pelanggan bagi jangka masa panjang.

“Festival 11.11 tahun ini menyediakan rangkaian produk yang paling pelbagai dengan hampir 40,000 peniaga dari lebih 90 negara menawarkan produk daripada kira-kira 7,000 kategori, meliputi lebih 30 kluster industri,” katanya kepada pemberita pada sidang media secara maya baru-baru ini.

Beliau berkata setakat ini lebih 40 jenama di Tmall mempunyai program keahlian kesetiaan dengan lebih 10 juta ahli, selain hampir 600 jenama mempunyai program yang sama dengan lebih satu juta ahli.

Ahli yang setia ini menyumbang lebih 40 peratus daripada pertumbuhan jualan jenama, katanya.

“Mengubah kesedaran pengguna menjadi kesetiaan pelanggan adalah penting untuk menjana pulangan terbaik daripada pelaburan,” katanya.

Sementara itu, sehingga 30 Jun 2022, 88VIP Alibaba mempunyai lebih 25 juta ahli dengan perbelanjaan tahunan purata melebihi 57,000 renminbi (100 RMB=RM65.35) setiap orang.

88VIP, sebuah program keahlian komprehensif yang dilancarkan pada 8 Ogos 2018, mengetengahkan tawaran produk dan perkhidmatan di seluruh ekosistem Alibaba serta menyediakan pengalaman ‘pas akses semua’ untuk pengguna.

Ia turut membantu jenama dan peniaga yang mengambil bahagian mewujudkan hubungan yang erat dan kukuh dengan pengguna di seluruh ekosistem Alibaba.

Chui berkata syarikat telah meningkatkan pelaburan teknologi dengan menambah baik ruang penstriman langsung dalam usaha menyediakan pengalaman menarik buat pengguna untuk pelancaran produk.

Kira-kira 2,000 jenama akan menggunakan teknologi itu untuk menganjurkan acara pelancaran dalam talian semasa festival 11.11 tahun ini.

Alibaba Group juga akan meneroka penggunaan meluas teknologi realiti terimbuh dalam penstriman langsung dan video pendek.

Beliau berkata walaupun dalam ketidaktentuan yang berterusan, pihaknya yakin penggunaan keseluruhan China akan kekal kukuh dan berdaya tahan dengan teknologi dan kandungan yang lebih baik dijangka meningkatkan pengalaman beli-belah pengguna.

Festival Beli-belah Global 11.11 bermula pada 2009 dengan hanya 27 peniaga ketika itu, dan kemudian berkembang pesat menjadi festival beli-belah globa terbesar, mencipta nilai untuk jenama, peniaga dan pengguna dalam talian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here