KUALA LUMPUR, 27 Okt — Pembahagian kerusi di Semenanjung antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah dimuktamadkan hari ini, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata keputusan itu dicapai atas semangat setia kawan, saling menghormati, bertoleransi serta memberi ruang dan peluang kepada semua pihak dalam PN.

Katanya semua jentera Bersatu, PAS dan Gerakan telah diarahkan untuk mengatur langkah secara bersama bagi memperkukuhkan jentera PN dalam menghadapi pilihan raya itu.

“Dalam beberapa hari akan datang, kita akan tetapkan tarikh untuk setiap negeri di bawah PN untuk umumkan bukan sahaja kerusi tetapi calon yang telah putuskan untuk kerusi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PN  di Ibu Pejabat Bersatu di Bangunan Yayasan Selangor di sini hari ini.

Mesyuarat yang bermula pukul 4 petang itu turut dihadiri pemimpin PN antaranya Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam perkembangan lain, Muhyddin berkata PN tidak pernah mengadakan rundingan secara rasmi bersama Gerakan Tanah Air  (GTA) pada peringkat parti untuk bekerjasama pada PRU15. 

Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dilaporkan berkata rundingan tersebut masih dijalankan namun terdapat masalah yang belum diselesaikan.

Beliau turut memberi masa dua hari iaitu sehingga 2 Nov depan kepada PN untuk memuktamadkan kerjasama dengan GTA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here