IPOH, 30 Okt — Masyarakat di kawasan Parlimen Tambun di sini bakal menikmati kemudahan sukan baharu apabila sebuah pusat belia bertaraf antarabangsa, Perak Youth Centre (PYC) berkeluasan lebih dua hektar yang melibatkan kos sebanyak RM45 juta, siap pada 2025.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak, yang memberi kerjasama untuk menyediakan tapak bagi pembinaan pusat belia kedua di negara ini selepas yang pertama di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Selain berperanan sebagai hab aktiviti, program dan acara sukan bagi golongan belia serta masyarakat setempat, ia juga bakal dijadikan sebagai pusat latihan para atlet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah PYC di sini hari ini.

Beliau yang juga penyandang Ahli Parlimen Tambun berkata ia secara tidak langsung memberi kelebihan buat Perak, dengan para atlet di negeri itu berpeluang menjalani latihan dengan lebih selesa menggunakan kemudahan terdapat di PYC.

Justeru, Ahmad Faizal berkata pembinaan dan reka bentuk PYC akan mengambil kira kehendak serta keperluan setiap lapisan masyarakat, khususnya bagi golongan belia. 

Beliau berkata antara kemudahan yang bakal dinikmati penduduk termasuk padang bola sepak sintetik, gelanggang sukan extrem, hab e-sukan, gelanggang futsal berbumbung dan asrama untuk penginapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here