KUALA LUMPUR, 30 Okt — Pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ukay Sungai Sering, Bukit Antarabangsa di sini, dijangka siap sepenuhnya penghujung 2025, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata projek sekolah yang diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) itu, mampu memuatkan kira-kira 1,000 pelajar.

“Alhamdulilah urusan berkaitan tanah seluas lima ekar telah selesai, dan kontraktor pula akan mula masuk ke tapak (sekolah) hujung tahun depan, kita jangkakan ia akan siap hujung tahun 2025.

“Sekolah ini akan ada 30 kelas, yang mana setiap satu kelas boleh menempatkan sekurang-kurangnya 35 pelajar dan untuk kosnya buat masa ini kita belum boleh maklumkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-sama Komuniti di Dewan Ukay Perdana di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Radzi berkata pembinaan sekolah baharu itu, bagi jangkaan kepada kepadatan penduduk setempat pada masa akan datang.

“Kami di KPM (Kementerian Pendidikan) menyedari terdapat keperluan untuk menyiapkan segera sekolah tersebut berikutan kesukaran ibu bapa di kawasan ini  untuk menghantar anak ke sekolah sedia ada kerana kedudukan agak jauh dan perlu melintasi lebuh raya.

“…dan sekolah sedia ada di sekeliling kawasan ini  juga yang hampir memenuhi kapasiti optimum, kita harap apabila sekolah Sungai Sering (SK Ukay Sungai Sering) ini siap, ia akan dapat memberi penempatan kepada pelajar baharu, selain memberi kemudahan kepada masyarakat setempat dari segi penyediaan infrastuktur sekolah di kawasan ini,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here