TAPAH, 31 Okt — Rekod perkhidmatan sebagai wakil rakyat di Parlimen Tapah sejak tiga penggal lalu bakal jadi antara manifesto ditawarkan MIC dan Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Timbalan Presiden MIC yang juga penyandang kerusi itu Datuk Seri M Saravanan berkata rakyat di kawasan itu boleh menilai sendiri pembangunan, infrastruktur, modal insan dan peluang pekerjaan, yang telah wujud untuk dijadikan sebagai kayu pengukur atau perbandingan dengan mana-mana calon lain. 

“Siapa-siapa boleh bertanding di Tapah dan bawa manifesto. Saya tidak boleh paksa orang undi saya. Ini penggal keempat saya, dan saya percaya rakyat boleh menilai sendiri dan lebih matang sejak PRU lepas. 

“Biar siapa pun yang bertanding, rekod prestasi saya akan jadi manifesto,” katanya kepada Bernama selepas satu program Deepavali di sini.

Pada PRU14, Saravanan mewakili BN terus menguasai kerusi Parlimen Tapah dengan majoriti 614 undi, menewaskan calon PAS dan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding menggunakan logo PKR ketika itu.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, mengumumkan parti itu akan bertanding lagi di kerusi Parlimen Tapah pada PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here