KUALA LUMPUR, 1 Nov — Bekas Presiden MCA ,Tan Sri Ong Tee Keat merupakan antara calon Parti Warisan (Warisan) hari ini diumumkan akan bertanding merebut 26 kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang memaklumkan setakat ini, parti itu akan bertanding lima kerusi Parlimen di Kedah, empat masing-masing di Pulau Pinang dan Selangor, tiga masing-masing di Perlis, Kuala Lumpur dan satu masing-masing di Negeri Sembilan dan Johor manakala satu lagi kerusi akan dimumkan kemudian.

Parti dari Sabah itu akan bertanding sembilan kerusi DUN di Perlis dan tujuh di Perak.

Ong akan cuba menawan kembali kerusi Parlimen Pandan yang pernah disandangnya selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 ketika mewakili Barisan Nasional (BN), selepas berkhidmat selama empat penggal dari 1989 sebagai Ahli Parlimen Ampang Jaya.

Warisan juga menamakan bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang (DAP) dasn bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju (PKR), Wee Choo Keong, untuk bertanding di kerusi Parlimen Wangsa Maju dan bekas ahli PAS, Syed Araniri Syed Ahmad di kerusi Parlimen Kuala Kedah.

Calon lain bagi kerusi Parlimen antaranya ialah Ko Chu Liang (Padang Besar), Noraini Md Salleh (Pokok Sena), Ong Chin Wen (Batu Kawan), G. Balachandran (Gopeng), Khairul Azuan Kamarrudin (Tumpat), Azman Idris (Kuala Pilah) dan Mohd Zohar Ahmad (Sekijang).

Mohd Shafie berkata buat masa ini, Warisan memutuskan bertanding 52 kerusi Parlimen meliputi 26 kerusi di Semenanjung, 25 di Sabah dan satu di Labuan.

Pada sidang media selepas sesi memperkenalkan calon itu, Mohd Shafie Apdal berkata calon kerusi Parlimen Arau yang tidak diumumkan hari ini akan diumumkan sebelum hari penamaan calon, Sabtu ini.

“(Untuk) kawasan lain (kemungkinan untuk bertanding),  kita masih teliti supaya dapat umum secara bersekali. Kita akan kenal pasti siapa calon bersesuaian untuk memantapkan kerusi Parlimen dan DUN supaya kita dapat memenangi pilihan raya kali ini,” katanya.

Jumaat lepas, Mohd Shafie memberi bayangan beberapa calon terdiri daripada beberapa bekas pimpinan tertinggi MCA termasuk bekas presiden, bekas pemimpin dan ahli utama parti itu selain PKR dan UMNO yang akan bertanding mewakili parti itu pada PRU15 di Semenanjung. 

Mohd Shafie turut menyuarakan keyakinan terhadap calon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman untuk memenangi hati rakyat di kawasan masing-masing.

Ditanya mengenai keputusan Warisan untuk bergerak solo pada gelanggang PRU15, Shafie yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Semporna, berkata perjuangan Warisan adalah berpaksikan kepada kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti.

“Kita (Warisan) pernah bergabung sebelum ini. Gabungan boleh diadakan jika untuk kepentingan rakyat tapi bagi saya daripada bergabung dengan mana-mana parti politik, baik saya bergabung dengan rakyat,” katanya.

Warisan pernah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

Warisan telah melebarkan sayapnya ke Semenanjung pada 17 Dis 2021, iaitu selepas lima tahun bertapak di Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here