SEOUL, 31 Okt — Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol pada Isnin mengarahkan kerajaan melaksanakan sistem kawalan ke atas orang ramai untuk acara yang tidak teratur dan spontan, berikutan kematian sekurang-kurangnya 154 orang dalam perhimpunan Halloween di Seoul.

Arahan Yoon dibuat pada pertemuan mingguan dengan Perdana Menteri Han Duck-soo pada Isnin yang disertai menteri dalam negeri dan menteri kesihatan, menurut agensi berita Yonhap.

“Presiden Yoon terdahulu menyuarakan kesedihan selain merasa bertanggungjawab ke atas nyawa dan keselamatan rakyat…,” kata timbalan jurucakap presiden Lee Jae-myoung kepada pemberita.

Kebanyakan mangsa maut akibat sekumpulan penonton Halloween cuba bergerak melalui lorong sempit yang menghubungkan dua jalan di Itaewon. 

“Presiden Yoon menekankan perlunya memperkenal sistem kawalan keselamatan pencegahan kemalangan orang ramai bagi acara kumpulan spontan yang tidak mempunyai penganjur,” kata Lee.

Lee berkata presiden juga meminta bantuan menyeluruh untuk persiapan pengebumian dan rawatan perubatan bagi yang cedera, serta siasatan lengkap mengenai punca kemalangan dan pendedahan hasil siasatan secara telus.

Yoon turut mengucapkan terima kasihnya kepada “wira” termasuk rakyat, pekerja perubatan, bomba dan pegawai polis serta seluruh negara yang berkongsi kesedihan.

Presiden Yoon sebelum ini mengisytiharkan tempoh berkabung nasional hingga Sabtu dan mengarahkan bendera dikibar separuh tiang di pejabat kerajaan.

Sepanjang tempoh berkabung Yoon akan menangguhkan sesi soal jawab harian dengan wartawan untuk memberi tumpuan kepada usaha menangani kesan akibat insiden itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here