KUANTAN, 4 Nov — Ketua MCA Bahagian Lipis Ho Fong Mee dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka sekali gus melengkapkan senarai 42 calon parti yang bertanding bagi DUN Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Ho, 58, berkata beliau menerima watikah mewakili BN daripada Ketua UMNO Bahagian Lipis Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad selaku wakil Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di pejabat UMNO Lipis, petang semalam. 

“Ini merupakan kali pertama saya diberikan kepercayaan mewakili BN setelah beberapa kali membantu kempen calon-calon BN dalam pilihan raya di Lipis dan saya boleh gunakan dalam mengatur gerak kerja mendekati pengundi,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Semasa pengumuman calon BN Pahang pada Rabu, DUN Cheka dan DUN Sabai tidak disebut Wan Rosdy dan memaklumkan status calon masih ‘KIV’ (simpan dalam perhatian) bagaimanapun, calon DUN Sabai diumumkan kemudian pada petang hari sama. 

Sebagai anak jadi Cheka dan telah menyertai politik sejak berusia 21 tahun pada 1985, Ho berkata beliau tidak asing dalam kalangan penduduk setempat sekali gus pengalamannya itu dapat dijadikan nilai tambah bagi mempertahankan kerusi BN, untuk berdepan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Kita tidak gentar menentang sesiapa…yang penting, kita bekerja kuat untuk memastikan kemenangan BN di DUN Cheka. Tidak kira apa juga keputusan pilihan raya, sebagai orang tempatan dan berkahwin dengan orang Lipis, membolehkan saya terus berkhidmat kepada rakyat.

“Malah, semasa pandemik COVID-19, saya juga kerap turun padang membantu menyampaikan bantuan kerajaan negeri kepada penduduk sekitar Lipis,” katanya. 

Pada pilihan raya lepas, DUN Cheka dimenangi calon MCA Lee Ah Wong dengan majoriti 202 undi, menewaskan calon PAS Saludin Endol yang mendapat 3,273 undi manakala wakil PKR Rasid Muhamad memperoleh 2,930 undi. 

PRU15 akan diadakan pada 19 Nov ini dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai tarikh penamaan calon diikuti pengundian awal pada 15 Nov ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here