NILAI, 3 Nov — Lima daripada lapan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah muka baharu, kata penasihat PN negeri Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata pemilihan calon berkenaan adalah bertepatan dengan perkembangan dan trend politik semasa negara.

“Oleh itu dalam keadaan sekarang, calon-calon muda perlu tampil ke hadapan (dalam pemilihan calon setiap parti). Seperti PN, kita berani tampilkan lima calon baharu dan muda untuk bertanding kali ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pengenalan calon Parlimen dan pelancaran jentera Pilihan Raya PN negeri di Putra Nilai, hari ini.

Hanya Datuk Eddin Syazlee Shith yang juga penyandang Parlimen Kuala Pilah dicalonkan untuk mempertahankan kerusi tersebut manakala selebihnya adalah pertama kali bertanding di peringkat Parlimen.

Mereka adalah Mohd Fadhli Che Me (Seremban), Rafiei Mustapha (Port Dickson), Mohd Nazree Mohd Yunus (Rembau), Zaharuddin Baba Samion (Jelebu) serta Muhammad Noraffendy Mohd Salleh (Jempol). 

Manakala Datuk David Choong Vee Hing (Rasah) dan Mejar (B) Abdul Halim Abu Bakar (Tampin), masing-masing mempunyai pengalaman bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada Sabtu (5 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here