BERA, 5 Nov — Tiada istilah ‘menang mudah’ buat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun beliau berdepan dengan dua pencabar baharu dalam usaha memastikan Parlimen Bera kekal milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Ismail Sabri yang dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Asmawi Harun dan calon Pakatan Harapan (PH) Abas Awang berkata beliau tidak boleh boleh mengambil mudah cabaran pihak lawan, selain perlu memastikan kemenangan BN bukan hanya di Bera, namun di seluruh negara bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan. 

“Walaupun saya yakin boleh menang di Parlimen Bera, namun jentera BN di sini serta semua kawasan seluruh negara tidak boleh ambil mudah. Fokus sekarang adalah saya menang di Bera dan BN juga menang dan boleh membentuk kerajaan. Itu yang lebih penting.

“Kalau saya menang di Bera (tetapi) parti kalah seperti Pilihan Raya Umum ke-14, tidak ada makna… Jadi parti mesti menang dan menguasai kerajaan,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas diumumkan sebagai calon yang sah bertanding bagi Parlimen Bera di pusat penamaan calon Dewan Konvesyen Majlis Daerah Bera, di sini hari ini. Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera Datuk Zaman Azam Mohamet Sarif turut mengumumkan calon-calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Teriang dan Kemayan di bawah Parlimen Bera.

Pada pilihan raya umum 2018, Ismail Sabri menang di kerusi Bera dengan majoriti 2,311 undi menewaskan calon PKR Zakaria Abdul Hamid yang memperoleh 18,449 undi manakala calon PAS Musaniff Ab Rahman mendapat 8,096 undi. 

Ismail Sabri juga optimis BN mampu mencapai kemenangan pada PRU15 dan seterusnya membentuk dan menjadi parti dominan dalam kerajaan, menerusi kerja keras dan kesepakatan daripada jentera semua parti komponen. 

“Tak kisah berapa penjuru (saingan diterima calon BN), jika kita bekerja keras untuk kemenangan dan mood rakyat (menunjukkan) kita boleh menang dengan tambahan kerusi, seterusnya membolehkan kita membentuk kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here