JOHOR BAHRU, 5 Nov — Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa menteri Kabinet serta pemimpin kanan parti merupakan antara nama-nama besar yang bertanding merebut 26 kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin, 75, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) turut menjadi calon paling berusia dalam kalangan 96 calon bertanding di negeri itu manakala calon termuda adalah daripada Pakatan Harapan (PH), Fatin Zulaikha Zaidi, 27, yang bertanding di Parlimen Mersing.

Muhyiddin yang merupakan Pengerusi PN dan Presiden Bersatu menjadi Ahli Parlimen Pagoh sejak 1978 kecuali pada 1986 dan 1990 apabila beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang.

Pada PRU14 beliau memenangi kerusi Parlimen Pagoh atas tiket Pakatan Harapan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula akan mempertahankan kerusi Sembrong, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mempertahankan kerusi Parit Sulong manakala Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA akan mempertahankan kerusi Ayer Hitam buat kali kelima.

Turut memberi saingan, dua bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad yang bertemu penyandang dan calon PH Dr Maszlee Malik di kerusi Simpang Renggam serta Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kerusi Kota Tinggi.

Selain itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mempertaruhkan presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mempertahankan kerusi Muar manakala Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub mempertahankan kerusi Pulai.

Daripada 96 calon yang layak bertanding, BN mempertaruhkan calon di semua kerusi Parlimen diikuti PH di 24 kerusi, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di 11 kerusi, calon Bebas seramai lima orang di empat kerusi, MUDA (dua kerusi) manakala Parti Rakyat Malaysia dan Parti Warisan, masing-masing satu calon.

Kerusi Parlimen Ledang pula akan menyaksikan saingan sengit menerusi pertandingan enam penjuru antara bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta bekas penyandang kerusi itu Datuk Dr Hamim Samuri dan Timbalan Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh, yang akan mempertahankan kerusi berkenaan.

Turut memberi saingan ialah calon Rafidah Ridwan (GTA-Pejuang), Zaidi Abd Majid (PN-Bersatu) serta dua calon Bebas Yunus Mustakim dan Zainal Bahrom A. Kadir.

Sementara itu, sebanyak 13 kerusi Parlimen akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, sembilan kerusi saingan empat penjuru manakala tiga kerusi lagi berdepan perlawanan lima penjuru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here