ALOR SETAR , 7 Nov — Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kemenangan parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya MCA di kerusi Parlimen yang ditandingi tidak akan bermakna sekiranya gabungan itu gagal memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata kerusi yang ditandingi BN tidak boleh dilihat daripada perspektif satu parti semata-mata, sebaliknya secara menyeluruh sebagai gabungan yang membawa kepentingan bersama.

“Tahun 1974, kita (UMNO, MCA, MIC) yang menubuhkan BN dan tiga parti ini masih lagi akrab… Jadi kalau parti sesama kita iaitu BN menang, itu adalah kemenangan kita bersama.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong (tiga, kiri) bersama calon bagi Parlimen P007 Alor Setar, Tan Chee Hiong (dua, kiri) beramah mesra dengan ahli BN dan sukarelawaan bomba pada Majlis Bertemu dengan Wakil Pasukan Sukarelawan Bomba Alor Setar di Lebuhraya Sultan Abdul Hamid hari ini.

“Saya tidak menganggap ia sebagai parti ini menang lebih, atau parti ini menang sikit. Yang penting ialah BN perlu menang sebagai satu gagasan parti,” katanya pada sidang media selepas berkempen bersama calon BN Parlimen Alor Setar Tan Chee Hiong di sini hari ini.

Wee diminta mengulas mengenai cabaran dan peluang MCA memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU15 ini sama ada parti itu diyakini oleh pengundi.

Ditanya mengenai jangkaan kemenangan kerusi bagi MCA, Wee yang juga Menteri Pengangkutan berkata beliau sangat realistik serta menganggap semua pertandingan pada PRU15 kali ini adalah sengit dan penting.

“… pertandingan sengit baru kita akan bertungkus lumus bekerja kuat. Jadi kita anggap semua kerusi itu penting selagi ada harapan dan peluang untuk kita menang, kita akan bekerja kuat untuk memastikan akhirnya rakyat akan menilai dan mengundi parti yang boleh dipercayai,” katanya.

Selain itu, Wee berkata keputusan Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lepas adalah bukti kepada kejayaan korelasi antara kestabilan dan kemakmuran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here