BEIJING, 11 Nov — China giat menggalakkan penyesuaian sektor domestik terhadap perubahan iklim di samping aktif menjalankan kerjasama antarabangsa untuk menjayakan usaha berkenaan.

Ketua Delegasi China bagi Rundingan Perubahan Iklim, Zhao Yingmin berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Strategi dan Tindakan Penyesuaian Perubahan Iklim China sempena Sidang Kemuncak Pelaksanaan Iklim sesi ke-27 (COP27) untuk Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Sharm el-Sheikh pada Khamis.

Zhao, yang juga Timbalan Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China berkata bahawa China turut menghulurkan bantuan dan sokongan kepada beberapa negara kurang maju.

“Bagaimanapun, isu penyesuaian dan pembiayaan, teknologi, serta pembinaan keupayaan menjadi kebimbangan utama dalam kalangan negara membangun susulan perkembangan kemajuan yang perlahan.

“Malah, janji negara maju untuk menyalurkan sokongan sebanyak US$100 bilion berhubung kewangan iklim kepada negara membangun setiap tahun masih belum ditunaikan,”kata Zhao.

Beliau berkata negara-negara maju diseru untuk memikul tanggungjawab dan kewajipan mereka, meningkatkan sokongan kewangan untuk tindakan penyesuaian bagi negara membangun, dan mengajukan pelan tindakan bagi menggandakan dana penyesuaian.

Sementara itu, tindakan China yang mengeluarkan Strategi Negara bagi Penyesuaian Perubahan Iklim 2035 turut mendapat pujian Penasihat Khas Setiausaha Agung PBB bagi Tindakan Iklim, Selwin Hart.

Strategi berkenaan adalah sangat kritikal dan penting yang bukan sahaja baik untuk China, bahkan seluruh dunia, katanya.

“Ia antara langkah positif menuju ke arah matlamat membina skala kerjasama dan perpaduan antarabangsa untuk menangani krisis iklim dengan berkesan,” kata Hart.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here