MELAKA, 11 Nov — Walaupun usianya mencecah 78 tahun, namun Md Shariff A Bakar yang merupakan bekas guru kepada Datuk Lim Ban Hong bertekad akan membantu calon Barisan Nasional (BN) Tangga Batu itu berkempen, agar dapat menawan semula kerusi tradisi BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek yang telah bersara sejak 23 tahun lepas, berkata beliau turut berbesar hati membenarkan ceramah BN diadakan di rumahnya, bagi membantu Lim meraih undi terutama di Kampung Cheng di sini.

“Dalam usia sebegini, saya sudah tidak patut berkempen atau terlibat dalam politik, tetapi memandangkan Lim anak murid saya dan bekas ketua pengawas sekolah saya, tiada masalah untuk saya membantunya.

“Esok kempen untuk membantu Lim akan diadakan di rumah saya dan saya akan jadi penceramah. Ini antara bantuan yang dapat saya hulurkan kepadanya, sebagai bekas gurunya,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Lim di rumahnya di sini hari ini.

Md Shariff berkata ketika Lim dilantik sebagai ketua pengawas di sekolah itu pada 1995, beliau banyak membantunya dalam pelbagai perkara terutama melibatkan disiplin pelajar.

Beliau berkata ciri kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang itu, terserlah sejak di bangku sekolah dan beliau merupakan ketua pengawas yang tegas, adil, merendah diri, hormat kepada semua orang, terutama guru dan cemerlang dalam pelajaran.

“Beliau berupaya mengawal disiplin pelajar dan pada saya beliau layak menjadi wakil rakyat di Tangga Batu ini, walaupun majoriti pengundi adalah kaum Melayu.

“Lim juga seorang yang ramah, mudah bergaul dengan semua lapisan masyarakat dan kaum selain fasih bertutur dalam Melayu,” katanya.

Lim merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan turut memegang beberapa jawatan lain seperti Naib Presiden MCA serta Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Melaka.

Pada PRU15, Lim berdepan saingan lima penjuru melibatkan penyandang kerusi Parlimen Tangga Batu Prof Madya Rusnah Aluai (PH-PKR), Lt Kol (B) Ghazali Abu (GTA-Pejuang), Mohammmad Shahril Mahmood (Bebas) dan Bakri Jamaluddin (PN-PAS).

Pada PRU14, kerusi Parlimen Tangga Batu dimenangi Rusnah dengan majoriti 4,659 undi selepas menewaskan Datuk Zali Mat Yasin (BN) dan Zulkifli Ahmad (PAS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here